Pasar Segar Terkawal bantu ahli pertubuhan peladang jual hasil pertanian

Pasar Segar Terkawal bantu ahli pertubuhan peladang jual hasil pertanian

KUALA LANGAT,. Pasar Segar Terkawal (PST) kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mampu membantu ahlinya yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 dengan memasarkan hasil keluaran mereka dan menyelesaikan masalah lambakan bahan mentah makanan.

Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim berkata, terdapat 27 PST di seluruh negara yang berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil keluaran pertanian dan platform kepada ahli-ahli peladang menyelesaikan masalah berkaitan pemasaran.

“Pengoperasian PST ini selaras dengan fungsi dan peranannya sebagai salah satu akses pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan seharian,” katanya pada sidang media di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, di sini semalam.

Beliau berkata, pengguna boleh mengunjungi PST berhampiran yang dibuka seawal jam 7 pagi hingga 12 tengah hari selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa.

“PST juga menawarkan alternatif kepada pengguna yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke PST termasuk jualan dalam talian dan perkhidmatan bayaran ketika terima,” katanya sambil menambah, transaksi perniagaan bernilai hampir RM5 juta telah dicatatkan dalam tempoh tiga minggu pertama PKP 3.0.

Azulita berkata, PST turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi mengangkut hasil-hasil pertanian terus dari ladang atau kampung-kampung dan dihantar ke PST berhampiran, malahan petani boleh memasarkan dan menjual sendiri produk mereka terus kepada pengguna.

“PST ini dapat memastikan petani terus berniaga dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerugian kerana hasil tanaman yang rosak ekoran PKP.

“Ia juga dapat memenuhi kehendak penduduk setempat untuk membeli barangan keperluan tanpa perlu bersesak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Antara produk yang ditawarkan di PST LPP adalah sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, hasil laut, daging, barangan runcit dan barangan asas tani serta produk jenama Peladangku.

Azulita berkata, pengguna juga berpeluang mendapatkan produk yang berkualiti serta segar dari ladang dengan penjimatan antara lima hingga 20 peratus potongan harga bagi barang terpilih.

LPP, katanya, memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal semasa tempoh PKP 3.0 ini dan pada masa yang sama dapat mengatasi kekangan pembekalan makanan negara dari segi kenaikan harga makanan dan bahan mentah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )