Pakej bantuan PERMAI boleh rangsang pertumbuhan KDNK, kekalkan PKS – Ahli Ekonomi

Oleh Nurul Hanis Izmir & S. Kisho Kumari

KUALA LUMPUR,. Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan hari ini akan membantu mengurangkan kesan lonjakan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) ke atas pertumbuhan Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) suku pertama selain menyokong pemulihan ekonomi, kata ahli-ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng berkata pakej PERMAI adalah bantuan yang amat dialu-alukan terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan yang terkesan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Senada dengan beliau ialah Datuk Michael Kang, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, yang mengatakan bahawa pengumuman itu tepat pada masanya kerana bantuan tersebut boleh membantu perniagaan sekurang-kurangnya bagi tempoh jangka pendek.

“Lanjutan moratorium (pinjaman) yang diumumkan hari akan dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana. Sekurang-kurangnya kurang la sikit kebimbangan mereka.

“Bagaimanapun, kami bimbang jika PKP 2.0 dilanjutkan kerana kita masih lagi mencatatkan kes harian empat angka,” katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai pakej bantuan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pakej tersebut yang terdiri daripada 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi pandemik, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kesinambungan perniagaan.

Antara bantuan yang diumumkan hari ini ialah moratorium pembayaran pinjaman bersasar dan pengurangan ansuran pembayaran balik akan terus ditawarkan oleh bank semasa pelaksanaan PKP 2.0.

Bagaimanapun, Kang berharap agar semua perniagaan dapat beroperasi semula pada 1 Feb ini dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

“Jika (PKP) dilanjutkan, kita sememangnya memerlukan lebih banyak bantuan, terutamanya bagi mereka yang akan kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas.

“Bantuan itu seharusnya mencukupi buat masa ini tetapi kerajaan tidak seharusnya melanjutkan (PKP) lagi selepas akhir bulan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kadar pengangguran negara, Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan AmBank Group Dr Anthony Dass berkata pakej bantuan PERMAI sudah pastinya akan dapat membantu menangani isu berkenaan.

Beliau juga percaya bantuan bagi bencana alam dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi Jaringan Bantuan Bencana diumumkan segera kerana ia boleh memberi impak terhadap pandemik secara langsung akibat daripada gangguan perkhidmatan kesihatan dan prasarananya serta kesukaran menjaga penjarakan fizikal dalam kalangan mangsa banjir di pusat penempatan sementara.

Kerajaan memperuntukkan RM25 juta di bawah program jaringan sebagai geran padanan bersama GLC bagi inisiatif sosial, termasuk peruntukan bantuan komuniti untuk warga tua, orang kurang upaya, kehilangan tempat tinggal, dan mangsa banjir.

“Sebaik sahaja ekonomi pulih dan berada di landasan yang sewajarnya, hutang tinggi (negara) perlu diselesaikan dan barulah kita mula menumpukan pada penarafan,” katanya, dan menambah kerajaan serta pakar ekonomi tidak harus terlalu memikirkan mengenai penarafan buat masa ini.

Sementara itu, Yeah tidak menolak kemungkinan peningkatan defisit fiskal dan nisbah hutang berbanding KDNK sebanyak setengah mata peratusan, walaupun beliau mengatakan kedua-dua metrik hutang masih terkawal meskipun meningkat.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim yang sependapat dengan Yeah berkata had hutang berkanun mungkin dinaikkan lagi, kemungkinan pada 65 peratus.

“Kita fikir dengan mengambil kira kesan jangka panjang pandemik terhadap ekonomi dan langkah fiskal yang belum pernah terjadi sebelumnya diperlukan untuk mengurangkan kesan daripada PKP yang terbaharu, had hutang berkanun dapat dinaikkan lagi, mungkin kepada 65 peratus.

“Dan ya, Malaysia memang memiliki ruang untuk menaikkannya kepada 65 peratus, susulan jangkaan peningkatan (hutang negara) dengan langkah rangsangan yang diumumkan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Adam turut memetik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjangka kemungkinan kerajaan menaikkan siling hutang kepada lebih 60 peratus daripada KDNK selepas 2021.

Dalam pengumumannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa impak daripada PKP 2.0 ke atas ekonomi dijangka terkawal dan pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia,

“Kita telah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP ke atas pertumbuhan ekonomi, apabila KDNK suku kedua 2020 mencatatkan kemerosotan yang ketara dan kadar pengangguran juga telah meningkat.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus, dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020,” katanya semasa mengumumkan pakej itu hari ini.

Kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi sejak penularan pandemik pada awal tahun 2020 bernilai RM305 bilion, atau lebih 20 peratus daripada KDNK untuk membantu rakyat dan perniagaan, serta melindungi ekonomi.

Dass mengunjurkan keseluruhan ekonomi akan meningkat kepada 70-80 peratus pada suku kedua 2021 dengan kelonggaran langkah-langkah sekatan secara berperingkat berbanding operasi semasa kira-kira 50-60 peratus pada suku pertama 2021 semasa PKP 2.0, dan ekonomi dijangka beroperasi seperti biasa pada separuh kedua tahun ini.

“Pengurangan dalam KDNK domestik akan menjadi antara 0.6 peratus dan 1.3 peratus pada suku pertama, yang bermakna unjuran KDNK 2021 sebanyak 6.5 peratus kini berada antara 5.2 peratus dan 5.9 peratus.

“Peningkatan pertumbuhan tetap ada, (tetapi ini) bergantung kepada (perkembangan) luaran dan domestik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )