Pahang rangka inisiatif bantu pengusaha hotel bajet

Pahang rangka inisiatif bantu pengusaha hotel bajet

KUANTAN,. Kerajaan Negeri Pahang sedang merangka inisiatif bagi membantu pengusaha hotel bajet di negeri ini yang terjejas kerana pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata antara inisiatif itu ialah dengan pemberian baucar diskaun bagi tempahan hotel, menggunakan portal dalam talian kerajaan negeri Pahang, ‘Pahang Go’.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

Beliau berkata bagi hotel bajet, secara umumnya semua faham bahawa mereka tidak boleh menurunkan harga bilik bagi menarik kehadiran pengunjung kerana pada dasarnya harga yang ditawarkan mereka sudah sedia rendah.

“Jadi kita dah minta Pahang Go untuk menyediakan baucar, bernilai daripada RM20 ke RM30 bagi pengguna portal berkenaan, yang boleh didapati secara siapa cepat, dia dapat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya baucar itu hanya perlu ditunjukkan ketika pelanggan mendaftar masuk ke hotel, dan pengusaha hotel boleh menuntut semula nilai baucar itu kemudian nanti.

Sharkar berkata selain itu kerajaan negeri juga menggalakkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang diarahkan bekerja dari rumah, supaya bekerja sambil bercuti yang bermakna mereka boleh bekerja dari pusat-pusat percutian.

“Ini juga adalah bagi menggalakkan bilik-bilik hotel ditempah bukan hanya ketika hujung minggu. Bagi tujuan ini, kita ingin memastikan perkhidmatan perhubungan internet di pusat-pusat percutian adalah baik,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik, industri pelancongan di negeri Pahang kehilangan 1.05 juta pelancong setiap bulan antara April dan Jun tahun ini, dan menurutnya ketika ini terdapat kira-kira 38,000 bilik ditawarkan oleh lebih 500 hotel di seluruh negeri Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia cawangan Pahang Pajan Singh berkata pelaksanaan pemberian baucar diskaun adalah baik dan tepat pada masanya kerana ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 180 hotel yang mendaftar di bawah persatuan itu di Pahang.

“Ia adalah idea yang baik kerana ketika ini hotel bajet perlu bersaing dengan hotel lima bintang dan empat bintang yang menurunkan harga mereka sehingga ada yang meletakkan harga di bawah RM100 bagi satu malam.

“Namun pelaksanaannya perlu lebih perincian. Mungkin setiap hotel bajet hanya boleh menerima jumlah tertentu baucar, bagi memastikan inisiatif itu dapat dikongsi lebih banyak hotel bajet,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )