OKU disaran daftar perniagaan dengan SSM secara percuma

OKU disaran daftar perniagaan dengan SSM secara percuma

KUALA LUMPUR,. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berminat untuk memulakan perniagaan disaran memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang ditawarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendaftar perniagaan mereka secara percuma.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembaharuan sijil perniagaan juga diberikan secara percuma di bawah skim itu dalam usaha menggalakkan OKU melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19 pada masa ini.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 12,161 perniagaan telah didaftarkan di bawah skim S1OKU1P yang mula diperkenalkan pada 2012.

“Di seluruh negara ada lebih 580,000 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hanya kira-kira 12,000 perniagaan yang berdaftar di bawah skim ini.

“Nampaknya masih ramai lagi yang boleh didaftarkan di bawah skim ini dan ada peluang besar buat mereka (OKU), dan kita sedia membantu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil pendaftaran perniagaan S1OKU1P kepada usahawan OKU Mohd Nor Abdullah di sini, semalam.

Kisah Mohd Nor, 28, yang dilahirkan tanpa tangan tular baru-baru ini, dengan perniagaan nasi lemak ‘Bujang Dek Mat’ hasil usahanya sendiri.

Sementara itu, Nanta dalam satu kenyataan yang diedarkan pada majlis itu, memaklumkan dengan mendaftarkan perniagaan di SSM, peniaga dapat memberi keyakinan kepada pelanggan untuk berurusan dengan perniagaan dijalankan mereka di samping berpeluang mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

“Memiliki perniagaan yang didaftarkan sangat penting bagi setiap usahawan termasuklah golongan OKU bagi membolehkan mereka memenuhi syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan latihan kemahiran, pembiayaan dan lain-lain bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan,” menurutnya.

Pada masa ini, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menetapkan fi bagi mendaftarkan perniagaan baharu dan pembaharuan pendaftaran perniagaan adalah sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred dan RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )