MOSTI sasar tambah 1,000 perintis inovasi tahun hadapan

MOSTI sasar tambah 1,000 perintis inovasi tahun hadapan

KOTA TINGGI,. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pertambahan 1,000 perintis inovasi pada tahun hadapan menerusi Program Pembangunan Inovasi Sosial, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kementerian telah menyalurkan dana pembangunan produk tempatan dan pembangunan berjumlah RM15 juta kepada lebih 5,000 perintis inovasi bermula 2008 hingga semalam.

Beliau berkata program pembangunan inovasi menerusi program Mainstreaming Grassroots Innovation (MaGRIS), Malaysia Social Innovation (MySI) dan High-Impact Programme 6 (HIP6) bertujuan merancakkan lagi pembangunan usahawan dalam inovasi produk menerusi sains dan teknologi.

“YIM adalah program di bawah MOSTI yang melibatkan inovasi sosial oleh mana-mana pereka akar umbi dari kalangan B40 yang ingin melaksanakan inovasi mereka. Mereka perlu mengemukakan dokumen yang perlu untuk memohon dan penilaian akan dibuat mengikut keperluan semasa.

“MOSTI sentiasa komited memperkasa inovasi sosial menerusi teknologi inovasi tempatan. Dengan program seumpama ini ia menggalakkan perintis inovasi tempatan untuk mereka cipta teknologi dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi luar negara.

“Inovasi tempatan ini dapat memartabatkan ekonomi B40 dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, selain menjimatkan masa dan tenaga,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Awam Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Adham berkata YIM akan membuka dua lagi fasiliti ruang reka di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor pada akhir bulan ini dan Bera, Pahang pada akhir tahun ini.

Beliau berkata dua lagi ruang reka telah dibuka di Kuala Terengganu dan Paroi Negeri Sembilan yang telah beroperasi April lepas.

“YIM mengemukakan satu kaedah bagaimana pengalaman tidak ada direkodkan oleh mana-mana sekolah atau universiti tetapi kita kaitkan dengan sains dan teknologi.

“Mereka di luar bandar atau sektor awam yang mempunyai inovasi atau perkara yang boleh dikaitkan dengan sains dan teknologi boleh datang ke ruang reka dan sekiranya ada nilai komersial kita akan bangunkan produk mereka,” katanya.

Terdahulu, Adham menyerahkan bantuan peralatan inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan untuk pemprosesan kelapa dan santan kepada peniaga santan, Mohd Alif Sa’don, 34, di sini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )