Moody’s: Kewangan Islam terus berkembang pada 2022

Moody’s: Kewangan Islam terus berkembang pada 2022

KUALA LUMPUR,. Kewangan Islam akan terus berkembang pada 2022 apabila pemulihan ekonomi semakin pesat, khususnya di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kata Moody’s Investors Service.

Naib Presiden dan Penganalisis kanan Ashraf Madani berkata pemulihan ekonomi dalam pasaran kewangan Islam utama akan meningkatkan pertumbuhan kredit serta permintaan untuk produk patuh Syariah dan ia menjangkakan pertumbuhan aset bank Islam akan terus mengatasi prestasi rakan setara konvensional mereka.

“Pada masa sama, kami menjangkakan harga minyak yang lebih tinggi akan menjuruskan kepada terbitan sukuk yang lebih rendah pada 2022, sebahagian besarnya didorong oleh keperluan pembiayaan yang lebih rendah dalam GCC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Firma penyelidikan itu menyatakan terbitan sukuk jatuh 12 peratus kepada US$181 bilion (US$1=RM4.18) pada 2021 di tengah-tengah keperluan pendanaan kerajaan yang lebih rendah di rantau GCC dan Indonesia dalam keadaan harga minyak yang lebih tinggi dan pemulihan ekonomi.

Moody’s berkata aktiviti terbitan dijangka terus turun pada 2022 kepada US$160-US$170 bilion.

Pada 2020, aset di bawah pengurusan (AUM) untuk dana Islam meningkat kepada paras tertinggi baharu US$140 bilion, mengembang 31.9 peratus tahun ke tahun.

Menurut anggaran Moody’s, dana Islam AUM terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2021, didorong oleh persekitaran ekonomi yang bertambah baik, prestasi pasaran ekuiti yang kukuh dan permintaan pelabur yang meningkat.

Pendorong ini kemungkinan akan terus menyokong pengembangan AUM selepas 2021, tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )