Modifikasi Tingkah Laku terhadap Norma Baharu

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh: Profesor Madya Dr Nik Daliana Nik Farid

Pandemik COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia menyaksikan kematian akibat wabak itu meningkat setiap hari. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama di kawasan yang terkesan dengan COVID-19 adalah penting bagi mengelak penularan pandemik itu secara mendadak. Tingkah laku kesihatan seperti pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mencuci tangan boleh membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Tindakan dan tingkah laku

Tindakan atau tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan yang perlu diamalkan untuk kesihatan disebabkan pandemik COVID-19 agak sukar diterima oleh segelintir masyarakat. Walaupun pematuhan kepada SOP sering diuwar-uwarkan oleh kerajaan melalui pelbagai medium komunikasi dan penguatkuasaan tindakan dan kompaun dikenakan terhadap mana-mana individu yang enggan mematuhi SOP, masih ada individu yang melanggarnya.

Selain itu, masih ada individu yang tidak mengikut nasihat untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal semasa berada di premis-premis perniagaan serta mengelak daripada berada di tempat awam yang sesak.

Tidak semua orang bersedia atau sanggup berubah apabila diminta melakukan sesuatu yang baharu seperti amalan norma baharu bagi mencegah COVID-19. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti orang di sekeliling, rangkaian sosial kita dan norma di sekitar kita yang memberitahu bahawa ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ia juga mungkin disebabkan kita merasakan norma baharu itu suatu yang menyusahkan atau mungkin kita lupa mengenainya. Sebuah kajian yang dilakukan di China mengenai faktor yang mempengaruhi tingkah laku kesihatan semasa wabak COVID-19 mendapati bahawa maklumat, motivasi dan kemahiran tingkah laku berkait rapat dengan tingkah laku kesihatan. Kajian tersebut juga mendapati bahawa kemahiran tingkah laku mempunyai impak terbesar ke atas tingkah laku kesihatan.

Kajian kepatuhan

Dalam satu kajian mengenai kepatuhan terhadap langkah pencegahan di kalangan masyarakat Malaysia semasa pandemik COVID-19 oleh Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan mendapati lebih daripada 90 peratus responden mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana orang yang rapat dengan mereka mahu berbuat demikian.

Kajian tersebut juga melaporkan lebih daripada 90 peratus responden bersetuju faktor persekitaran mempengaruhi mereka untuk mengikut arahan terhadap nasihat KKM. Nasihat yang diberikan oleh KKM termasuk membasuh tangan dengan sabun dan air atau cecair sanitasi, mengelakkan diri daripada tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan tidak menyentuh muka.

Membasuh tangan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal adalah tingkah laku yang boleh melindungi dari wabak COVID-19. Bagaimanakah kita boleh menggalakkan tingkah laku tersebut di kalangan masyarakat?

Pengaruh persekitaran

Persekitaran memainkan peranan yang penting di dalam mempengaruhi tingkah laku manusia. Faktor persekitaran sosial seperti ibu bapa, rakan sebaya, sekolah dan guru serta media massa yang bertindak sebagai agen sosialisasi boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang. Dalam konteks pencegahan COVID-19, ibu bapa bertanggungjawab dalam membentuk sikap positif seperti rajin membaca dan menambah ilmu pengetahuan tentang penyakit berjangkit tersebut dan faham akan kesan jangkitan terhadap diri sendiri dan orang lain.

Ibu bapa boleh menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dengan mengamalkan tingkah laku kesihatan mencegah COVID-19 iaitu memakai pelitup muka, mencuci tangan dan penjarakan fizikal. Ini telah diterangkan oleh Albert Bandura, seorang pakar psikologi di dalam Teori Pembelajaran Sosial di mana kanak-kanak mempelajari sesuatu tingkah laku dengan memerhati tingkah laku orang sekelilingnya. Pada kebiasaannya, individu yang ditiru mempunyai hubungan yang rapat seperti ibu bapa dan adik beradik.

Rakan sebaya berperanan sebagai model sosial terutamanya dalam aspek tingkah laku remaja. Rakan sebaya haruslah mempamerkan teladan yang baik kepada rakan-rakan yang lain untuk menarik perhatian ke arah perlakuan yang lebih baik. Remaja akan cenderung untuk meniru tingkah laku rakan sebaya.

Oleh kerana mereka adalah golongan paling hampir dalam hidup remaja, program promosi kesihatan perlu mengambil kira rakan sebaya semasa merangka program pencegahan COVID-19. Dengan motivasi yang ditunjukkan oleh rakan sebaya yang boleh menarik perhatian rakan-rakan lain semasa aktiviti promosi kesihatan, ia boleh memberi sumbangan yang positif terhadap tingkah laku remaja.

Sekolah dan guru juga memainkan peranan agen sosialisasi yang penting. Guru dan sekolah merupakan ejen perubahan yang penting dalam perkembangan pelajar dari segi fizikal, intelek, emosi dan sosial. Peranan guru dalam mempengaruhi tingkah laku kesihatan terhadap COVID-19 boleh dilihat daripada tugas mereka dalam memastikan pelajar mematuhi SOP sepanjang waktu persekolahan.

Sebaik sahaja pelajar tiba di sekolah, mereka disambut oleh guru di pintu pagar sekolah bagi memastikan suhu badan pelajar di ambil. Guru juga pada masa sama memastikan pelajar mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan. Dalam konteks ini guru merupakan agen yang lebih berautoriti boleh membentuk kesedaran generasi muda mengenai tanggungjawab mereka sebagai seorang yang perlu prihatin terhadap kesihatan diri sendiri dan orang disekelilingnya. Selain itu, guru juga merupakan model kepada murid-murid di sekolah. Sekiranya guru mengamalkan serta patuh kepada SOP, tingkah laku tersebut akan menjadi model yang baik kepada murid-murid.

Media sangat berpengaruh terhadap pendidikan, tingkah laku dan keperibadian masyarakat. Di negara ini pihak media memainkan dua peranan yang utama dalam membantu memerangi wabak COVID-19. Pertama, media bertindak menyampaikan dasar dan polisi kerajaan yang dikuatkuasakan pada setiap fasa perintah kawalan dengan cepat, betul dan tepat untuk makluman orang ramai. Misalnya, pengumuman pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) serta SOP yang berkaitan dan yang telah ditetapkan disampaikan dengan segera kepada anggota masyarakat.

Peranan besar pihak media yang kedua ialah, media turut membantu mewujudkan dan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat tentang penularan dan ancaman wabak ini. Pihak media mengambil inisiatif untuk menyediakan dan menghebahkan pelbagai informasi sebagai kempen kesedaran bagi memerangi wabak ini.

Selain daripada agen sosialisasi yang disebutkan di atas, pemimpin negara, golongan profesional kesihatan dan pihak berkepentingan yang berkaitan juga boleh memainkan peranan mereka dalam meningkatkan kepatuhan masyarakat kepada tingkah laku yang mempromosikan pencegahan COVID-19. Menurut pakar tingkah laku sains, berikut adalah strategi yang boleh diikuti:

Memakai pelitup muka

Menyediakan tempat untuk mengedar pelitup muka untuk mereka yang sangat memerlukan.
Mempromosikan pelitup muka bergaya atau memberi tips menghias pelitup muka (mengikut spesifikasi yang ditetapkan) bagi menggalakkan pemakaian pelitup muka.
Menggalakkan penyimpanan pelitup muka di pintu depan rumah bagi membiasakan diri untuk memakainya setiap kali hendak meninggalkan rumah.
Menggunakan mesej yang jelas seperti “pakai pelitup muka di dalam bangunan” dan bukan “pelitup muka diperlukan jika terlalu ramai” untuk menyampaikan tingkah laku yang diinginkan.
Penjarakan fizikal

Menyediakan tanda jarak satu meter di taman atau lantai untuk mengingatkan orang ramai tentang garis panduan penjarakan fizikal dan membantu mereka menganggar jarak yang sesuai. Dengan adanya tanda tersebut mereka tidak perlu berfikir dan mengira. Sebaliknya mereka hanya perlu berdiri pada tanda tersebut. Ini menjadikan tingkah laku tersebut mudah diulang dan senang dilakukan.
Menggunakan mesej yang jelas seperti “jaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain” menggantikan “jarak fizikal”.
Menggalakkan penggunaan tabiat yang lebih selamat seperti melambaikan tangan dan bukannya berjabat tangan atau berpelukan.
Mencuci tangan

Melakukan perubahan kecil kepada keadaan persekitaran seperti menempatkan cecair sanitasi tangan di laluan umum dan menggunakan tanda-tanda dengan warna yang terang untuk meningkatkan penggunaannya.
Menyarankan penggunaan cecair sanitasi tangan sebagai sesuatu yang biasa atau normal untuk dilakukan. Soalan seperti “sudahkah anda menggunakan cecair sanitasi tangan?” kepada pesakit atau pelawat boleh membiasakan penggunaannya.
Mengadakan papan tanda yang menunjukkan penggunaan cecair sanitasi tangan adalah sesuatu yang biasa dan normal untuk dilakukan oleh semua orang.
Faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam usaha mengubah tingkah laku masyarakat dalam menangani wabak COVID-19. Ini boleh diterapkan di dalam proses membangunkan program promosi kesihatan yang lebih efektif. Dari segi pendidikan kesihatan, perubahan tingkah laku boleh dicapai dengan memberi fokus kepada kemahiran tingkah laku serta kreatif dalam memberi kesedaran yang berterusan.

— BERNAMA

Profesor Madya Dr Nik Daliana Nik Farid merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Pencegahan dan Kemasyarakatan, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )