MGC disokong lima skim pembiayaan R&D

MGC disokong lima skim pembiayaan R&D

PUTRAJAYA, 8 Jan — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Malaysia Grand Challenge (MGC) yang disokong oleh lima skim dana pembiayaan penyelidikan serta pembangunan (R&D) berjumlah RM220 juta di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU).

Lima skim itu ialah Dana Penyelidikan Strategik (SRF); Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1); Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2); Dana Jambatan (BGF); dan Dana Inovasi Gunaan (AIF), yang dijangka dapat mengkomersialkan 114 produk tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata MGC diperkenalkan untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan serta inovasi (R&D&C&I) negara dalam usaha mengarus perdana bidang sains, teknologi dan inovasi yang seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

“MGC bakal memberi manfaat dalam perkembangan inovasi, kreativiti dan kadar pengkomersialan produk tempatan melalui penggunaan teknologi lestari, seterusnya mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi serta inovasi luar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MGC itu di sini.

Khairy berkata dana pembiayaan R&D itu akan memantapkan ekosistem R&D&C&I dalam negara bagi mencapai sasaran 3.5 peratus Perbelanjaan Dalam Negara Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 daripada 1.08 peratus sekarang.

Dana pembiayaan itu turut menyokong usaha Majlis High-Tech Nation dalam merangka hala tuju teknologi semasa serta masa hadapan pembangunan negara meliputi isu seperti kesihatan, alam sekitar, makanan, akses kepada teknologi dan keselamatan, katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Malaysia Debt Ventures (MDV) menyediakan program pembiayaan Fasiliti Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) kepada syarikat pemula berkaitan teknologi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Setakat 30 Disember 2020, sebanyak 46 syarikat telah diluluskan pembiayaan di bawah program itu berjumlah RM54.77 juta.

Bermula tahun ini, katanya MDV juga akan memperkenalkan program MDV Technology Venture Financing Microfund Guarantee Scheme (MDV-TechVFMG), yang merupakan inisiatif MOSTI dalam mewujudkan sebuah dana mikro atau pembiayaan bersama yang melibatkan dana swasta untuk syarikat pemula.

Melalui Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pula, Khairy berkata MOSTI menyediakan Geran Padanan Impak Sosial (SIM) kepada perusahaan dan organisasi sosial (SE).

“Pemberian ini tepat pada masanya kerana SE, yang banyak menggunakan sumber daya daripada masyarakat terpinggir atau B40 telah terjejas teruk daripada pandemik COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )