Menara KL, Alor Setar sasar 30,000 jualan tiket ‘Untukmu, Delivery Heroes’

KUALA LUMPUR,. Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar menyasarkan 30,000 penjualan tiket kepada pengunjung yang terdiri daripada petugas perkhidmatan penghantaran kurier dan keperluan harian menerusi promosi ‘Untukmu, Delivery Heroes.’

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Ainol Shaharina Sahar berkata promosi khas itu bermula dari 1 hingga 31 Oktober ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada petugas berkenaan yang mencari pendapatan ketika pandemik COVID-19.

“Promosi ini terbuka kepada semua petugas perkhidmatan tersebut. Mereka hanya perlu menunjukkan pas kerja atau memakai pakaian kerja bagi membolehkan mereka menikmati harga istimewa.

“Promosi ini membolehkan mereka melawat Sky Deck di Menara Kuala Lumpur atau Star View di Menara Alor Setar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan promosi itu di Menara Kuala Lumpur semalam.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM), menguruskan Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar yang beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mengulas lanjut, beliau berkata promosi itu terbahagi kepada dua pakej iaitu ‘Kru Delivery Heroes’ dan ‘Delivery Heroes & Keluar-ga/Rakan.’

Bagi Kru Delivery Heroes, Ainol Shaharina berkata pakej itu dikhususkan kepada petugas perkhidmatan penghantaran yang melayakkan mereka menikmati satu tiket percuma dengan pembelian dua tiket pada harga RM10 seorang.

Pakej Delivery Heroes & Keluarga/Rakan pula ditawarkan kepada seorang petugas perkhidmatan penghantaran yang datang bersama ahli keluarga atau rakan.

“Harga promosi adalah beli tiga percuma satu pada harga RM10 seorang,” katanya.

Beliau berkata harga tiket promosi itu adalah murah berbanding harga biasa iaitu RM71 seorang bagi Menara Kuala Lumpur manakala RM48 bagi Menara Alor Setar.

Ketika menjawab soalan mengenai pematuhan standard operasi prosedur (SOP) pencegahan pandemik itu, Ainol Shaharina memaklumkan bahawa pihaknya memberi keutamaan kepada aspek tersebut dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

“Kita perketatkan SOP sedia ada. Jika sebelum ini, pihak kami akan menjalankan sanitasi di lokasi tumpuan setiap 45 minit tetapi sekarang sanitasi dijalankan setiap setengah jam,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )