MEDAC: Usaha sepadukan PKS dalam rantaian nilai global hampiri pencapaian baharu

MEDAC: Usaha sepadukan PKS dalam rantaian nilai global hampiri pencapaian baharu

KUALA LUMPUR,. Usaha negara untuk menyepadukan perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) ke dalam rantaian nilai global menghampiri satu lagi pencapaian menerusi sesi rangkaian sulung antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan perwakilan diplomatik dari 17 negara Arab.

Menterinya Tan Sri Noh Omar,. berkata Malaysia menyedari akan kepentingan PKS dalam ekonomi, justeru, adalah penting untuk terus membantu, mengukuhkan dan meluaskan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala, dengan PKS diberi tumpuan utama.

Perwakilan diplomatik itu melibatkan 17 negara, iaitu Algeria, Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Maghribi, Oman, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Sudan, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata pembeli antarabangsa dari Timur Tengah, serta negara-negara lain di dunia kini lebih mudah untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia menerusi platform MatchME.

“Diperkenalkan pada Jun 2021, MatchME merupakan platform digital yang menghubungkan syarikat PKS dengan syarikat utama seperti MNC (syarikat multinasional), GLC (syarikat berkaitan kerajaan), pasar raya, dan syarikat besar di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Sejak penubuhannya, 740 PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) serta 93 MNC dan syarikat besar dari Malaysia dan luar negara mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan maya menerusi platform ini, menjana RM38 juta potensi jualan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, 18 syarikat pemula niaga dan PKS Malaysia akan menyertai Ekspo Dubai 2020 bermula 13-19 Febuari.

Perusahaan ini akan mempamerkan teknologi dan penyelesaian terkini untuk bersaing bagi menarik minat pelabur dan rakan kongsi perniagaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (2 )