MEDAC tubuh 6 jawatankuasa selaraskan agensi bantu pengurusan usahawan

MEDAC tubuh 6 jawatankuasa selaraskan agensi bantu pengurusan usahawan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyelaras kelancaran 11 agensinya dalam usaha membantu pengurusan usahawan. Menterinya Tan Sri Noh Omar (gambar) berkata penubuhan jawatankuasa itu akan membolehkan usahawan lebih fokus dan berdaya saing dalam bidang perniagaan.

“Di bawah MEDAC ini sahaja ada 11 agensi, masing-masing ada program dan peruntukan mereka tersendiri. Saya minta agensi ini untuk duduk sekali dan bincang dengan jawatankuasa. Kalau Lazada boleh buat, takkan kita tidak boleh buat.

“Ini amanah saya kepada kementerian, biar produk ini betul-betul dibuat di bawah MEDAC supaya kita dapat selaraskan apa kita ada pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat DwiTahunan Perwakilan Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI) Kedua untuk 2021, hari ini.

Enam jawatankuasa tersebut adalah jawatankuasa latihan dan bimbingan yang diketuai Institut Keusahawanan Negara (INSKEN); jawatankuasa geran dan jawatankuasa eksport, masing-masing diketuai SMECorp; jawatankuasa graduan menjadi usahawan diketuai oleh UDA; manakala jawatankuasa media sosial/e-pasaran dan jawatankuasa pemantauan, masing-masing diketuai MEDAC.

Noh berkata MEDAC berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan lebih banyak persatuan untuk bertukar pendapat bagi membangunkan usahawan dalam negara. “Seperti yang kita tahu, pada masa hadapan, mungkin generasi akan datang, tidak berminat untuk makan gaji, sebaliknya berminat untuk menjadi usahawan.

“Bidang keusahawanan ini terlalu luas, kita harus bersatu dan bekerjasama sebagai satu keluarga Malaysia supaya kita dapat menjayakan apa yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat DwiTahunan ACCI hari ini mengekalkan kedudukan Datuk Sohaimi Shahadan sebagai Presiden selepas menang tanpa bertanding. Timbalan Presiden 1 pula disandang Datuk Malik Abdullah, manakala Timbalan Presiden 2 adalah Datuk Lokman Hakim Pfordten.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )