MEDAC sedia peruntukan RM372.845 juta untuk pelan Pemulihan Usahawan  Pasca COVID-19

MEDAC sedia peruntukan RM372.845 juta untuk pelan Pemulihan Usahawan Pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Mei  — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan sejumlah RM372.845 juta untuk pelan Pemulihan Usahawan Pasca COVID-19 bertujuan memastikan kelestarian serta pemulihan operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pelan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada Mei hingga Disember 2020 manakala fasa kedua bermula Jan hingga Mei 2021.

Beliau berkata setakat ini berdasarkan maklumat sedia ada Malaysia mempunyai hampir 907,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro.

“Mereka perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza khususnya selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak mudah untuk mengangap keadaan akan kembali seperti biasa selepas wabak ini berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap usahawan perlu mencari pendekatan dan berubah ke arah pendigitalan perniagaan merebut peluang latihan serta tawaran yang diumumkan agensi berkaitan terutama MEDAC.

“Pada masa yang sama, mencari peluang sumber pendapatan baharu untuk kelangsungan perniagaan,” katanya.

Wan Junaidi berkata pihaknya menggariskan enam strategi yang mengandungi 30 inisiatif untuk kumpulan sasar yang dikenal pasti di bawah pelan pemulihan tersebut.

Beliau berkata strategi itu ialah meningkatkan keyakinan rakyat; memperkasakan keupayaan dan kapasiti;  meningkatkan akses dan bantuan pembiayaan; meningkatkan penggunaan teknologi; membuka dan meluaskan pasaran; serta menyampaikan perkhidmatan berkesan.

Kesemua strategi itu menyasarkan golongan PKS, perusahaan mikro, koperasi, syarikat pemula niaga, sektor tidak formal, usahawan dan rakyat; lulusan pengajian tinggi serta belia, katanya.

Beliau berkata selain itu, sebagai inisiatif untuk membantu usahawan pada masa ini, MEDAC menerusi agensinya juga sedang dan telah mengambil dan melaksanakan 15 langkah sepanjang PKP berkuat kuasa.

Antaranya penyediaan pembiayaan dengan anggaran peruntukan berjumlah RM786.5 juta oleh Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada 4,133 penerima manfaat yang terdiri daripada individu, usahawan dan koperasi, katanya.

Beliau berkata langkah lain adalah penangguhan bayaran balik pembiayaan oleh Tekun kepada 209,479 usahawan bernilai RM324 juta di samping penjadualan semula pinjaman pembiayaan oleh Tekun bagi 1,000 usahawan mikro dengan kos berjumlah RM10 juta.

Wan Junaidi berkata turut dilaksanakan ialah moratorium oleh semua agensi di bawah kementerian untuk 3,119,570 penerima manfaat dengan kos bernilai RM13.14 bilion; penangguhan bayaran balik pembiayaan Tabung Model Pusingan (TMP-JPK) oleh SKM kepada 1,000 koperasi bernilai RM99 juta serta pembiayaan menerusi TMP-JPK sehingga RM50,000 tanpa cagaran dengan grace period selama enam bulan dengan peruntukan RM15 juta.

Selain itu penangguhan bayaran balik pembiayaan individu oleh koperasi perbankan untuk 1,254,339 koperasi dengan kos bernilai RM5.67 bilion serta pinjaman Dana Likuiditi Pusat (CLF) dengan jumlah minimum permohonan dana RM500,000 dengan tempoh pinjaman selama setahun bagi koperasi yang menghadapi masalah kewangan turut ditawarkan oleh MEDAC, katanya.

“Langkah seterusnya adalah pengurangan caruman Kumpulan Wang Rizab Statutori kepada lapan peratus berbanding 15 peratus sebelum ini, daripada untung bersih berjumlah RM333 juta; penangguhan pendepositan ke akaun deposit koperasi (ADK) kepada semua koperasi bernilai RM571 juta.

“Pengecualian/pengurangan sewa bangunan (milik Uda) dengan anggaran kos RM12.4 Juta yang akan memberi manfaat kepada 1,828 orang usahawan; latihan keusahawanan/perniagaan dalam talian dengan anggaran peruntukan berjumlah RM0.6 juta yang akan memanfaatkan 82,717 orang usahawan juga dijalankan,” katanya.

Wan Junaidi berkata berkata MEDAC juga memberi kelulusan bersyarat pendaftaran sijil taraf bumiputera kepada 705 kontraktor bumiputera selain melaksanakan enam program berimpak tinggi.

Enam program itu melibatkan anggaran kos pelaksanaan berjumlah RM15.585 juta dengan ia memberi manfaat kepada 6,000 orang yang merangkumi lulusan pusat pengajian tinggi, bakal usahawan, usahawan, koperasi dan syarikat pemula niaga serta masyarakat umum, katanya.

Langkah ke-15 adalah sumbangan wang zakat berjumlah RM21,167,621 daripada SME Bank dan Bank Rakyat, katanya.

Beliau berkata dalam pada itu, MEDAC melalui agensinya TEKUN telah mewujudkan permohonan secara dalam talian untuk Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) pada 16 April lepas.

“Sehingga  30 April 2020, jumlah permohonan yang diterima adalah 17,845, daripada jumlah itu 5,684 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan bernilai RM47.6 Juta,” katanya.

 

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )