MEDAC komited bantu usahawan PKS yang terjejas akibat COVID-19

MEDAC komited bantu usahawan PKS yang terjejas akibat COVID-19

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited membantu usahawan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terdapat 9,675 syarikat dan perniagaan menutup operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac sehingga 9 Jun 2020.

“Sebanyak 22,794 syarikat dan perniagaan menutup operasi bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu 10 Jun sehingga September 2020 dan jumlah penamatan operasi yang tertinggi dicatatkan adalah pada bulan Ogos 2020 iaitu 17,800 syarikat dan perniagaan,” katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) mengenai bilangan PKS yang menamatkan operasi mereka kerana PKP dan pandemik itu serta apakah langkah kementerian untuk mengatasinya.

MEDAC telah menjalankan dua kaji selidik secara dalam talian semasa tempoh PKP bermula 10 April hingga 17 April 2020 dan pasca-PKP bermula 15 Julai sehingga 17 Ogos 2020 dan mendapati 8.85 peratus usahawan telah menutup perniagaan sepenuhnya semasa tempoh PKP, manakala jumlah tersebut berkurangan kepada 1.39 peratus semasa pasca-PKP.

Selain itu, kajian tersebut menunjukkan bahawa majoriti usahawan yang menutup operasi perniagaan semasa PKP dan pasca-PKP adalah usahawan mikro, masing-masingnya sebanyak 79.53 peratus dan 70.83 peratus.

Kaji selidik yang telah dijalankan juga mendapati usahawan mikro dan koperasi merupakan golongan yang paling terkesan memandangkan majoriti daripadanya masih belum menerima bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Justeru, Wan Junaidi berkata MEDAC telah mengenal pasti tindakan intervensi berdasarkan tiga isu utama termasuk meningkatkan pembiayaan khas COVID-19 bagi menangani isu aliran tunai usahawan; meluaskan program latihan pembangunan produk.

“Tindakan lain ialah mempelbagaikan program promosi dan hab pemasaran bagi meningkatkan permintaan produk serta akses pasaran; serta mengadakan program adaptasi teknologi dalam usaha meningkatkan inisiatif digitalisasi dalam operasi perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) untuk tahun 2020 telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM56.2 juta, ia memanfaatkan seramai 5,422 usahawan di negeri Sabah.

Wan Junaidi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) yang mahu tahu berapa jumlah peruntukan yang telah disalurkan bagi pembangunan usahawan di Sabah.

SME Bank pada tahun ini (2020) telah meluluskan pembiayaan untuk 139 usahawan di Sabah berjumlah RM72.17 juta.

“Bagi meningkatkan kemahiran usahawan di Sabah, MEDAC melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) melaksanakan program latihan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM114,371 bagi tahun 2019 dan RM299,330 bagi 2020. Seramai 595 usahawan di Sabah telah mendapat bimbingan dan latihan di bawah INSKEN,” katanya.

Wan Junaidi berkata MEDAC amat prihatin mengenai kemampanan perniagaan usahawan di Malaysia pasca-COVID-19.

“Selain daripada penyaluran kewangan bagi pembangunan usahawan secara langsung, kerajaan melalui SME Bank telah memberi penangguhan pembayaran selama enam bulan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada usahawan PKS yang layak.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,100 pelanggan SME Bank dengan nilai pembiayaan berjumlah RM5.3 billion,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )