MEDAC komited bantu PKS, koperasi melalui PERKASA

MEDAC komited bantu PKS, koperasi melalui PERKASA

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited bagi memastikan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dapat segera dinikmati usahawan yang disasarkan agar aktiviti perniagaan dapat diteruskan susulan kesan kelembapan ekonomi akibat COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. berkata kementerian itu bersedia membantu dalam menyalurkan segala insentif PEMERKASA kepada para usahawan dan koperasi yang terkesan.

“MEDAC menyambut baik inisiatif yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dalam PEMERKASA yang memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021.

“Dengan pengumuman ini, diharapkan para usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara pemberian insentif berkaitan usahawan ialah Geran Khas Prihatin 3.0 iaitu bantuan sekali beri sebanyak RM1,000 serta dana pembiayaan tambahan RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program di bawah Bank Simpanan Nasional, TEKUN, Majlis Amanah Rakyat dan SME Corp.

Selain itu, usahawan wanita turut diperkasakan melalui Kempen e-Dagang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS Mikro serta Program Shop Malaysia Online dengan peruntukan dana RM30 juta untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian.

Beliau berkata, antara insentif kepada koperasi ialah insentif pembiayaan RM100,000 tanpa cagaran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membantu koperasi yang terkesan.

“Sejumlah RM50 juta daripada Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi,” kata Wan Junaidi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )