MEDAC dan KPWKM bekerjasama bantu usahawan wanita, OKU

MEDAC dan KPWKM bekerjasama bantu usahawan wanita, OKU

PUTRAJAYA,. Sejumlah RM18.2 juta diperuntukkan untuk program dan bantuan membabitkan usahawan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi kerjasama di antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata MEDAC menerusi agensinya bersetuju bekerjasama dengan KPWKM bagi membantu kumpulan sasaran, khususnya untuk mendepani tempoh pemulihan selepas COVID-19 serta membantu mereka mengembangkan operasi.

“Peruntukan akan digunakan untuk pelbagai program termasuk latihan, bantuan kewangan, program bimbingan dan pinjaman mudah yang bertujuan mengeluarkan lebih ramai usahawan berdaya saing, dinamik dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara agensi di bawah MEDAC yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Institut Keusahawanan Negara, TEKUN Nasional dan SME Corp serta Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang akan bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah KPWKM.

Wan Junaidi berkata usahawan wanita adalah antara yang paling teruk terjejas oleh pandemik itu memandangkan sebahagian besar mereka di bawah kategori mikro dan tidak formal (tidak berdaftar) selain berniaga dalam sektor tidak penting seperti estetika, fesyen, spa, salun kecantikan dan pengurusan acara.

Wan Junaidi berkata MEDAC turut menumpukan usaha membantu perniagaan terbabit beralih kepada digital.

MEDAC juga menerusi PNS berhasrat bekerjasama dengan KPWKM untuk mengenal pasti perniagaan yang dimiliki wanita yang berpotensi dikembangkan sebagai jenama francais tempatan, katanya.

Beliau berkata francais merupakan platform yang dapat mempercepat pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana, dan PNS boleh menyediakan bimbingan yang dapat memastikan kejayaan kepada mereka yang berminat untuk meneroka perniagaan berkenaan.

Katanya menerusi strategi pelan lima tahunnya, PNS menyasarkan 5,000 kelulusan kewangan kepada usahawan, yang diunjur dapat mengembangkan portfolio francais sebanyak 400 peratus daripada RM178 juta kepada RM700 juta.

Ini dijangka dapat mewujudkan 18,000 pekerjaan dan menyumbang RM4.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )