MEDAC bersama SKM tekad rancakkan semula Ar-Rahnu – Wan Junaidi

MEDAC bersama SKM tekad rancakkan semula Ar-Rahnu – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tekad merancakkan kembali aktiviti Ar-Rahnu dalam kalangan masyarakat dan koperasi.

Menterinya, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bertepatan tindakan Pindaan Akta Koperasi yang dikuatkuasakan pada 1 Mac 2021, iaitu seramai 20 orang sahaja diperlukan untuk mendaftarkan koperasi baharu berbanding 50 orang sebelum ini

“Secara tidak langsung ia bakal memudahkan penubuhan sesuatu koperasi untuk menceburi aktiviti Ar-Rahnu iaitu pembiayaan bercagarkan barang emas atau barang gadaian yang dilihat dekat di hati rakyat.

“Aktiviti Ar-Rahnu dapat membantu memudahkan individu atau anggota koperasi mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup atau sebagai modal pusingan perniagaan kepada mana-mana usahawan Bumiputera terutamanya atau anggota koperasi sendiri untuk mendapatkan dana perniagaan dengan lebih mudah dan cepat berbanding jika meminjam daripada institusi kewangan berlesen.
“Pelaksanaan Ar-Rahnu dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya rakyat di Kelantan yang sangat

sinonim dengan pemilikan emas adalah sangat sesuai dan relevan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Dalam pada itu Wan Junaidi memaklumkan, kementeriannya dan SKM bakal melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 sebagai usaha meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap sektor koperasi,

“Tindakan ini selaras dengan saranan kerajaan supaya operasi perniagaan koperasi pada masa kini lebih mudah dan kualiti koperasi yang didaftarkan lebih baik agar sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi Negara berjumlah RM100 bilion menjelang 2030 dapat dicapai,” ujarnya.

Terdahulu, Wan Junaidi menyampaikan Pembiayaan TMP-SKM dan Tabung Bantuan Koperasi berjumlah RM4.09 juta kepada 17 koperasi di Kelantan bertempat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Di dalam majlis tersebut juga, MEDAC melalui TEKUN Nasional mengumumkan pembukaan Platinum Mall Kota Bharu yang dijangka akan dibuka pada April 2021 khusus kepada para usahawan di kawasan Pantai Timur.

Sempena pengumuman itu juga, Wan Junaidi turut menyampaikan surat tawaran penyewaan kepada lima bakal usahawan di Platinum Mall serta penyerahan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) kepada 10 orang usahawan yang masing-masing menerima RM5,000.

Wan Junaidi di dalam ucapannya juga memberikan penghargaan kepada koperasi-koperasi di Kelantan yang menceburkan diri dalam sektor kesihatan; antaranya Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia Kelantan Berhad yang terus bertahan dan berkembang pesat walaupun negara menghadapi krisis ekonomi yang tidak menentu.

“Ini disebabkan peningkatan permintaan terhadap produk kesihatan seperti sarung tangan, pelitup muka, cecair pembasmi kuman, vitamin dan ubat-ubatan, perkhidmatan dialisis serta penjualan ‘non-medical equipments’ yang terus mendapat tempat dalam pasaran.

“MEDAC dan SKM akan terus komited dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan koperasi yang holistik, kondusif dan mapan bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi negara yang seimbang,” katanya.

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )