MEDAC bekerjasama dengan Maxis di platform indeks kesediaan digital

MEDAC bekerjasama dengan Maxis di platform indeks kesediaan digital

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan bekerjasama dengan Maxis Bhd di platform Indeks Kesediaan Digital (DRI) bagi memacu transformasi digital negara.

Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata DRI — alat penilaian kendiri dalam talian dan interaktif akan membantu syarikat keseluruhan industri menilai tahap kesediaan digital masing-masing.

“Saya menantikan pemahaman yang akan disediakan oleh DRI, termasuk dari segi dasar dan amalan terbaik untuk memacu digitalisasi dalam negara.

“Saya juga difahamkan Maxis akan turut berkongsi makluman terkini setiap tahun mengenai kesediaan digital di dalam negara sementara agensi kerajaan akan membantu mereka mengukur penerapan atau penggunaan digital di dalam negara,” kata beliau pada majlis pelancaran DRI yang berlangsung secara maya hari ini.

MEDAC dan Maxis akan bekerjasama dalam beberapa inisiatif menerusi agensi MEDAC seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TEKUN Nasional dan Institut Koperasi Malaysia.

Ini termasuk melibatkan DRI ke dalam modul dan latihan bersasar INSKEN, meneroka kerjasama Bengkel Keusahawan Digital Maxis, penyelesaian digital untuk segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Paul McManus berkata sudah jelas bahawa segmen PKS memerlukan sokongan padu untuk menyesuaikan diri dengan landskap yang pesat berubah dan mempercepatkan digitalisasi.

“DRI berpotensi menghasilkan pemahaman ataupun wawasan yang boleh bertindak terhadap keadaan transformasi digital perniagaan dan industri negara termasuk untuk kerajaan, terutama sebagai pertimbangan bagi pelaksanaan dasar dan amalan terbaik penggunaan digital,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai DRI, Ketua Pengalaman Pelanggan Perusahaan dan Pengurusan Komersil Tan Cheong Tatt berkata kajian DRI menganalisis tiga tonggak utama dalam perniagaan iaitu kepuasan pelanggan, produktiviti pekerja dan kecekapan operasi.

Beliau berkata satu formula menentukan skor setiap tonggak dengan menjadualkan skor keseluruhan bagi mengukur kesediaan bermula daripada ‘Ready’, ‘Nearly Ready’, ‘Not Ready’, dan ‘At Risk’.

“Berserta dengan pandangan yang komprehensif ke dalam perniagaan, laporan akhir turut menyediakan analisis pesaing, penanda aras industri serta saranan mengenai penyelesaian digital paling sesuai untuk keperluan mereka.

“Syarikat-syarikat juga boleh memilih untuk membuat susulan dengan bimbingan daripada perunding Maxis yang berdedikasi,” kata beliau.

Berkongsi keputusan awal daripada alat DRI dalam kalangan 2,000 PKS seluruh negara, beliau berkata ia mendedahkan 58 peratus daripada PKS Malaysia dikategorikan sebagai ‘Not Ready’ (tidak bersedia) dalam mencapai potensi sepenuhnya dalam penerimaan teknologi digital.

Penggunaan alat digital untuk penglibatan pengguna masih pada tahap asas dengan 61 peratus menggunakan emel dan 40 peratus menggunakan media sosial sebagai saluran komunikasi utama kepada pengguna.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )