MEDAC bantu usahawan, koperasi dapatkan pensijilan halal

MEDAC bantu usahawan, koperasi dapatkan pensijilan halal

KUALA LUMPUR,. Menjelang 2030, pasaran halal global dijangka mencecah USD5.0 trilion manakala pasaran domestik pula dianggarkan mencecah USD113.2 bilion.

Ini menunjukkan bahawa industri halal kekal mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan strategi terancang dan inklusif.

Usahawan dan koperasi perlu merebut peluang mendapatkan pensijilan halal memandangkan potensi industri halal semakin berkembang dan dapat meningkatkan nilai pasaran produk.

Pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) penting bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi menjadi pemacu utama kepada perkembangan industri halal di negara ini.

Selain Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Good Manufacturing Practice (GMP), SPHM kini turut menjadi antara piawaian penting dalam perusahaan makanan hari ini.

Pemilikan pensijilan Halal dapat membantu usahawan dan koperasi membawa perniagaan ke tahap yang lebih jauh.

Melihat pada kepentingan pensijilan halal di kalangan usahawan PMKS dan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis memberi bantuan bimbingan bagi meningkatkan kesedaran kepada usahawan dan koperasi tempatan untuk mendapatkan SPHM.

MEDAC juga mengambil langkah proaktif dengan menerapkan pendekatan realistik dan praktikal menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) untuk memperkukuh kemampuan usahawan dan koperasi memacu sektor halal.

Inisiatif program yang dikelola MEDAC itu memberi fokus kepada pembangunan modal insan usahawan dan pegawai-pegawai kerajaan, menaik taraf produk dan proses pembuatan serta perluasan akses pasaran yang sekali gus dapat meningkatkan keupayaan ekosistem halal tempatan.

Empat program utama di bawah PPKH adalah Program Pembangunan Kapasiti Usahawan (Halal Outreach Programme for Entrepreneurs – HOPE), Program Pembangunan Kapasiti Produk (Product Transformation Programme – PuTRA), Adaptasi Teknologi dan Inovasi (Halal Technology and Transformation Programme -HTTP) dan Pengantarabangsaan (Product Registration Incentive – PRInce dan Market Access Incentive – MASSIVE).

Program-program ini adalah selari dengan fokus MEDAC di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) melalui Teras Strategik Ke-6: Melahirkan Lebih Banyak ‘Juara Halal’ dalam kalangan pemain industri tempatan.

Oleh itu, bagi merealisasikan program PPKH, MEDAC melantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. Malaysia dan TEKUN Nasional sebagai agensi pelaksana selain menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Usahawan dan koperasi perlu mendapatkan pensijilan halal memandangkan sektor halal dijangka memberi pulangan keuntungan yang tinggi menjelang 2030.

Prihatin terhadap pembangunan usahawan dan koperasi

Selaras dengan komitmen MEDAC untuk memberikan bantuan bimbingan terhadap pembangunan usahawan dan koperasi, program PuTRA dan program HTTP bagi memantapkan lagi keupayaan PMKS dan Koperasi dirangka untuk menguasai pasaran halal secara holistik.

Program PuTRA, memberi penekanan khusus terhadap pembangunan kapasiti produk usahawan dan koperasi dari aspek 3P iaitu penjenamaan, pelabelan dan pembungkusan agar produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi.

Sementara itu, program HTTP pula dibangunkan khusus dengan kerjasama agensi perunding yang mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti kaedah intervensi bersesuaian dalam proses penghasilan produk supaya kapasiti pengeluaran produk dapat dipertingkatkan.

Lebih 100 HDO bimbing permohonan pensijilan halal

Program HOPE telah dilaksanakan bermula dengan menyediakan pegawai kementerian dan agensi dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai Halal Development Officer (HDO) menerusi Kursus Pensijilan Profesional Halal yang diiktiraf oleh Majlis Profesional Halal, JAKIM.

Peringkat kedua pula melibatkan pelaksanaan program Reach Out To Entrepreneurs (ROTE) di mana pegawai yang dilatih akan berperanan sebagai pemudah cara untuk membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal.
Pada tahun ini, SIRI I Program HDO yang dijalankan melibatkan 100 pegawai MEDAC, SME Corp. Malaysia, TEKUN dan SKM.

Pembimbing profesional terlatih ini bagaimanapun perlu tamat menjalani latihan Kursus Pensijilan Profesional Eksekutif Halal bagi melayakkan mereka untuk memberi bantuan bimbingan dan khidmat nasihat kepada usahawan dan koperasi.

Selain itu, MEDAC turut menawarkan pembiayaan fi pensijilan halal dengan kadar sebanyak RM200 bagi setiap usahawan.

Strategi tingkat ekonomi halal

Menyentuh tentang cabaran, MEDAC sentiasa berusaha bagi memperkasakan industri keusahawanan halal negara.
Krisis pandemik melanda negara menjadi cabaran utama dihadapi usahawan menjadikan kelangsungan perniagaan sebagai keutamaan.

Selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh kerajaan, MEDAC telah menyediakan Rangka Pemulihan Usahawan MEDAC (RPUM).

Di bawah RPUM, MEDAC menggunakan pendekatan 5E (Enculture, Empower, Enable, Energize dan Engage) dalam tempoh masa segera (Quick Win Ogos 2021 hingga Disember 2021) dan sederhana (Januari 2022 hingga Disember 2022).

MEDAC turut menjalinkan kerjasama strategik dan libat urus pelbagai organisasi serta agensi lain termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, JAKIM dan lain-lain agensi kerajaan.

SKM bantu koperasi tembusi pasaran halal

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Koperasi SKM, Zainudin Sulaiman berpendapat, pelaksanaan program PPKH membuktikan bahawa usaha kementerian untuk merealisasikan harapan menjadikan usahawan dan koperasi sebagai peneraju sektor halal boleh menjadi realiti.

“Program ini antara usaha yang diketengahkan dengan memastikan bahawa setiap agensi dilantik kementerian menjalankan peranan masing-masing untuk memberi bantuan bimbingan berkenaan.

“SKM turut memainkan peranan tersendiri dalam memastikan lebih banyak koperasi terlibat dalam mendapatkan pensijilan halal sekali gus menembusi pasaran lebih luas,” katanya.

SME Corp. Malaysia tingkat keupayaan PKS

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy memberitahu, sehingga kini sebanyak 62 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di bawah kelolaan SME Corp. menyertai program keusahawanan halal.

“Perkembangn itu sejajar dengan objektif SME Corp. dalam menggalak dan membantu PKS menjadi peneraju sektor halal.

“SME Corp. sebagai salah satu agensi pelaksana turut bekerjasama dengan HDC melalui inisiatif khusus dalam meningkatkan keupayaan PKS,” katanya.

TEKUN galak usahawan mikro dapat pensijilan halal

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani berkata, seramai 60 usahawan akan dibantu untuk mendapatkan pensijilan halal.

“TEKUN Nasional komited memainkan peranan dalam membangunkan perniagaan usahawan mikro di bawah agensi itu termasuk pembangunan produk, penjenamaan, pelabelan, pembungkusan serta pensijilan halal.

”Objektif utama adalah untuk membantu dan membimbing usahawan bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti perniagaan melalui inovasi pembungkusan dan menaiktaraf peralatan, mesin serta teknologi dalam pengeluaran produk,” katanya.

JAKIM jalin kerjasama bantu usahawan dan koperasi

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir berkata, jalinan kerjasama strategik bersama MEDAC dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi ummah melalui usahawan dan koperasi.

“Sijil Permohonan Halal Malaysia (SPHM) adalah satu nilai tambah untuk meluaskan pasaran produk halal dan usahawan serta koperasi digalakkan memohon pensijilan halal.

“Sehingga kini, JAKIM mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara seluruh dunia,” katanya.

Komitmen dijalankan MEDAC juga sejajar dengan landskap industri halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 bilion pada 2025 sepertimana yang dinyatakan di dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )