MEDAC akan permudah urusan pinjaman usahawan – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mempermudah prosedur pinjaman kepada usahawan susulan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dihadapi untuk memulakan semula perniagaan ekoran pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ketua Setiausaha kementerian itu telah diminta untuk menjalankan kajian bagi meneliti semula proses berkaitan.

Menurutnya, ini berikutan terdapat banyak perusahaan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat hingga 9 Jun ini.

“Kita telah meminta Ketua Setiausaha (MEDAC) untuk buat satu kajian supaya semua proses lama yang merumitkan dan memakan masa (dihapuskan)…saya tak nak lagi dah. Saya nak bawa prosedur baharu supaya bantuan kepada peniaga dapat dipermudahkan.

“Berikutan keadaan sedemikian, kita telah membuka dua saluran bank dan satu koperasi sebagai sumber kewangan iaitu Bank Rakyat, SME Bank Bhd dan Tekun Nasional. Apabila sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, usahawan dapat menggerakkan perniagaan mereka secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 400 pek juadah berbuka puasa sumbangan UDA Holdings Berhad (UDA) kepada warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany, Pengerusi Bernama Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pengarang merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata setakat ini, beliau dimaklumkan bahawa SME Bank Bhd telah menerima kira-kira 1,000 permohonan pinjaman, sekali gus membuktikan banyak syarikat berminat untuk mendapatkan sumber kewangan disediakan kerajaan.

“Banyak kaedah dan prosedur disyaratkan telah dipermudah termasuklah proses pengeluaran. Bahkan saya juga memberi arahan kepada Tekun Nasional agar tidak melengahkan kelulusan permohonan pinjaman,” katanya.

Selain itu, menyedari ramai usahawan wanita turut terjejas, Wan Junaidi berkata pihaknya telah mengagihkan RM80 juta kepada golongan itu menerusi Tekun Nasional.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan mahu melihat perubahan dalam arus perniagaan termasuk penggunaan platform perniagaan dalam talian seperti e-dagang dengan lebih meluas.

“Tidak ada lagi cara lama… benda yang kita perbaharui adalah dari segi penjenteraan dan pengkomputeran bagi memudahkan serta meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (3 )