MDEC harap Belanjawan 2021 sokong pendigitalan PKS, majukan bakat dan pelaburan digital

MDEC harap Belanjawan 2021 sokong pendigitalan PKS, majukan bakat dan pelaburan digital

Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berharap Belanjawan 2021 akan turut memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital yang ketika ini memainkan peranan penting dalam membantu negara yang sedang berusaha untuk pulih ekoran pandemik COVID-19 yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata MDEC percaya Kementerian Kewangan mempunyai tawaran menarik yang akan menyokong aspirasi MDEC untuk menjadikan negara ini sebagai Nadi Digital ASEAN dan kemakmurannya akan dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Dalam soal ini, katanya MDEC memerlukan sokongan berterusan bagi menyokong tiga teras utamanya termasuk pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula, tumpuan kepada pembangunan bakat digital untuk menjana pendapatan dan seterusnya insentif yang menarik pelaburan digital termasuk sektor kandungan kreatif digital tempatan.

“Sebenarnya, pada tahun ini, Kementerian Kewangan dan MDEC telah bekerjasama untuk merancakkan sektor e-dagang di negara ini melalui dua inisiatif, iaitu “Shop Malaysia Online” PENJANA dan Kempen e-Dagang bagi PKS dan usahawan mikro.

“Kedua-duanya telah meraih jualan lebih RM1.2 bilion dan sudah pasti kita mengharapkan jalinan ini diperkukuhkan menerusi perincian Belanjawan 2021 akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Surina berkata usaha pendigitalan PKS tempatan dan usahawan mikro amat penting kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi negara yang mewakili hampir 90 peratus perniagaan domestik yang seterusnya menjana peluang pekerjaan.

“Kerajaan turut berharap PKS dan mikro tempatan dapat ditransformasikan ke arah pendigitalan bagi melakukan lonjakan digital dan seterusnya merebut manfaat perdagangan rentas sempadan.

“Usaha ini telah bermula dan kita mahu meneruskan pada skala lebih besar untuk mendominasi pasaran serantau dan seterusnya global,” katanya.

Bagi bidang pembangunan bakat, katanya MDEC merancang untuk meneruskan program seperti inisiatif #mydigitalmaker, Pembangunan Modal Insan Ekonomi Digital, Memupuk Jaguh Tempatan Menghasilkan Kandungan Digital, Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan e-Rezeki yang memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara dalam talian.

“Usaha berterusan ini akan memperkasakan cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pelaburan digital dan sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, pelbagai perkhidmatan perniagaan global berasaskan digital dan platform ekosistem data telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau mereka yang sekali gus telah mengesahkan status Malaysia sebagai hab serantau berteknologi tinggi dan pengembangan inovasi yang menarik.

Bagi sektor pelaburan digital, katanya MDEC berharap kerajaan akan terus menyokong pelbagai inisiatif digital yang terus menarik pelaburan digital terutamanya Inisiatif Pembangunan Industri Untuk Kandungan Digital Malaysia (My Digital Content) yang dijangka dapat meningkatkan aktiviti dan nilai tambah rantaian nilai kandungan digital industri tempatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )