Matrade tawar ganti rugi kewangan kepada PKS terjejas program promosi perdagangan

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menawarkan ganti rugi kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat penangguhan atau pembatalan acara promosi perdagangan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata bantuan itu disediakan menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang membenarkan PKS menuntut pembayaran balik bagi perbelanjaan tertentu yang dikeluarkan seperti yuran penyertaan yang tidak boleh dipulangkan, tambang penerbangan dan penginapan, tertakluk kepada jumlah ketiga-tiga komponen perbelanjaan yang tidak melebihi RM25,000 bagi setiap acara.

“Pembatalan atau penangguhan acara perdagangan antarabangsa secara tiba-tiba telah menyebabkan banyak PKS terutamanya sektor eksport berdepan ketidaktentuan kewangan selepas membayar yuran penyertaan mereka lebih awal.

“Kami berharap bantuan sementara itu akan membantu PKS mengurangkan impak cabaran ekonomi akibat pandemik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Latiff berkata ganti rugi itu diberikan berikutan aktiviti promosi perdagangan yang terganggu tanpa dijangka, melibatkan acara-acara yang dibatalkan atau ditangguhkan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Dis 2020.

Katanya, pembayaran balik bantuan sementara itu akan dibiayai menerusi potongan langsung daripada jumlah maksimum MDG sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan bagi setiap syarikat.

Beliau berkata PKS dan penerima MDG yang terjejas akibat COVID-19 boleh mula memohon pelepasan sementara itu bermula 1 Ogos 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )