MARDI perkenal teknologi atasi ancaman padi angin

MARDI perkenal teknologi atasi ancaman padi angin

KUALA LUMPUR,. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenal teknologi bagi menangani masalah padi angin iaitu ancaman utama untuk pengeluaran padi dunia yang dialami para petani.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI M. Dilipkumar berkata antara teknologi dihasilkan institut itu ialah Sistem Pengeluaran Clearfield yang menghasilkan varieti padi kebal terhadap racun rumpai serta ClearWR iaitu prosedur operasi standard pengurusan padi angin bagi amalan sistem tabur terus basah.

“Sistem Pengeluaran Clearfield kebal atau toleran terhadap racun rumpai daripada kumpulan kimia imidazolinone. Jadi semburan racun rumpai imidazolinone ke dalam sawah yang ditanam dengan varieti padi Clearfield mampu mengawal pertumbuhan keseluruhan spesies rumpai terutamanya padi angin, tetapi membenarkan varieti padi Clearfield hidup membesar dengan sihat.

“Bagi teknologi ClearWR pula, teknik penggunaan racun rumpai pracambah diubah suai agar populasi biji benih padi angin dalam tanah dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dilipkumar fenomena padi angin berlaku apabila terdapat persaingan dengan padi yang ditanam di semua peringkat pertumbuhan dan menyebabkan kehilangan hasil serta kualiti padi.

Beliau berkata kawalan padi angin harus dilakukan sepanjang proses penanaman padi, bermula dari penyediaan tanah sehingga penuaian padi.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan benih padi yang tercemar dengan padi angin boleh menyumbang kepada kegagalan teknologi yang dihasilkan.

Mengambil contoh teknologi ClearWR yang tertumpu kepada kawalan bank biji benih padi angin dalam tanah, beliau menjelaskan benih padi berpotensi untuk terjejas sekiranya petani menanam benih padi yang tercemar dengan rumpai itu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan hasil kajian MARDI terhadap beg benih padi sah secara rawak mendapati 1.4 peratus biji benih padi angin terdapat dalam satu beg benih sah bersaiz 20 kilogram (kg).

“Walaupun angka peratusnya rendah, tetapi nilai ini bersamaan dengan 12,000 biji benih padi angin. Anggaran nilai ini hanya berdasarkan kepada padi angin yang mempunyai beras berwarna perang atau hitam, tidak termasuk padi angin yang sama warna dengan padi kultivar.

“Perkara ini sangat menyedihkan kerana pembangunan sesebuah teknologi mengambil tempoh masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Katanya kecuaian dalam penghasilan benih padi sah yang bermutu tinggi dan bebas daripada biji benih padi angin mampu merosakkan keberkesanan teknologi yang dibangunkan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )