MARDI lancar tiga produk inovasi makanan baharu

MARDI lancar tiga produk inovasi makanan baharu

PASIR PUTEH,. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan tiga produk inovasi makanan baharu di Kelantan, selaras dengan usaha institut penyelidikan itu dalam mengeluarkan produk makanan berkualiti serta sihat kepada rakyat.

Ketiga-tiga produk berkenaan iaitu Lof Surimi Berdaging, Burger Ikan dan Kopi Pracampuran Ekstrak Pegaga yang dilancarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Datuk Che Abdullah Mat Nawi, di ibu pejabat MARDI di sini.

Che Abdullah berkata kesemua produk yang dihasilkan itu mempunyai tambahan fungsian termasuklah tinggi nilai protein dan karbohidrat, tiada asid lemak trans dan mengandungi antioksidan serta fitokimia yang tinggi, berbanding produk komersial tempatan lain.

“Lof Surimi Berdaging mempunyai asid lemak trans yang rendah serta baik untuk kesihatan, manakala Burger Ikan MARDI dihasilkan daripada sumber ikan akuakultur dan laut seperti ikan lolong, tilapia dan selayang, yang tinggi kandungan protein serta tiada asid lemak trans.

“Produk ‘Kopi Pracampuran Ekstrak Pegaga’ pula terbukti memberi manfaat kesihatan dengan ciri ketenangan serta mengurangkan tekanan. Kopi ini mengandungi karbohidrat, serat diet, protein, vitamin dan mineral yang baik, katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ketiga-tiga produk tersebut.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Pada majlis itu, Che Abdullah turut mengadakan lawatan ke ‘Test Bed ‘Teknologi MARDI Pasir Puteh iaitu makmal teknologi pemprosesan makanan yang dilengkapi mesin serta peralatan moden, untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata kementerian dan MARDI optimis makmal teknologi itu dapat membantu golongan sasar mendapatkan ilmu serta khidmat nasihat teknikal secara terus.

“Test Bed Teknologi MARDI ini dibangunkan di beberapa lokasi pilihan di seluruh negara mengikut keperluan teknologi tertentu, seperti contoh di Kota Kinabalu fokus pada teknologi hasilan ikan, Seberang Prai fokus pada bakeri dan Johor pula melibatkan pes dan sos.

“Manakala di Pasir Puteh ini, kita berikan tumpuan kepada pengkhususan teknologi makanan tradisional dan sejuk beku. Saya juga berharap agar usahawan tempatan dapat memanfaatkan teknologi MARDI yang diperkenalkan, untuk membantu meningkatkan perusahaan tradisi negeri ini,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )