Mansuh pengecualian kabotaj tidak sekat perniagaan firma utama teknologi – MASA

Mansuh pengecualian kabotaj tidak sekat perniagaan firma utama teknologi – MASA

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR,. Keputusan untuk memansuhkan pengecualian kabotaj bagi kapal syarikat Malaysia namun berdaftar dengan undang-undang maritim negara asing yang membaik pulih kabel dasar laut sama sekali tidak akan menghalang penggunaan kapal asing.

Pengerusi Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin berkata ini terutamanya bermaksud mendorong dan membolehkan syarikat Malaysia membawa pulang kapal kabel dan teknologi untuk membantu dan memajukan industri tempatan serta menghentikan aliran keluar tukaran asing yang tidak diperlukan.

Beliau berkata langkah terbaru oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu penting dalam membangunkan dan mengembangkan industri tempatan memandangkan syarikat Malaysia mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menyediakan keselamatan dan perlindungan terhadap aset strategik dalam perairan negara.

“Inilah yang kami cuba untuk galakkan. MASA ingin melindungi kesambungan digital ke Malaysia dengan pengetahuan tempatan untuk membaiki kabel dan tidak bergantung sepenuhnya kepada syarikat asing.

”Kapal kabel asing masih boleh bekerja di perairan Malaysia tetapi perlu memenuhi proses pengecualian lesen perkapalan dalam negara,” katanya kepada Bernama.

Pengecualian kabotaj bagi kapal asing yang menjalankan kerja baik pulih kabel dasar laut diberikan oleh bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke selepas dimohon oleh syarikat telekomunikasi seperti TIME dotCom Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Permohonan itu disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan ia bertujuan mempercepat kerja-kerja penyenggaraan seperti yang diperlukan.

Kementerian Pengangkutan mengesahkan bahawa ia menerima memorandum daripada firma teknologi iaitu Microsoft, Google, Facebook dan Malaysia Internet Exchange yang mendakwa keputusan Wee akan menjejaskan infrastruktur Internet Malaysia dan mereka akan memohon supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan.

Abdul Hak menegaskan pembatalan itu adalah langkah tepat memandangkan negara-negara jiran Malaysia telah menguatkuasakan dasar kabotaj dengan ketat untuk manfaat jangka panjang mereka.

“Sekiranya syarikat telekomunikasi itu merasakan membangunkan rakyat Malaysia tidak penting, mari kita membuka sepenuhnya. Mengapa perlunya mempunyai syarikat tempatan seperti Maxis, TIME atau Celcom? Mengapa mereka tidak membenarkan Singtel, Telkomtelstra, AT&T dan seumpamanya untuk turut serta?,” katanya.

Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak tertentu bahawa kabel yang terputus boleh menjejaskan sistem data seluruh negara adalah tidak dibuktikan kerana ketika gangguan kabel sebelum ini, Malaysia tidak mengalami penutupan data.

“Terdapat sejumlah 19 kabel dasar laut dengan dua kabel baharu sedang dipasang, jadi ketika kabel terputus, trafik akan dialihkan.

“Terdapat dua pihak berkuasa penyenggaraan di rantau ini — Perjanjian Penyenggaraan Kabel Asia Tenggara dan Lautan Hindi serta Perjanjian Perkhidmatan Penyenggaraan Laut Asia Pasifik. MASA mengalakkan persaingan antara mereka dan pada masa sama mendorong anggotanya untuk membawa kapal kabelnya agar didaftarkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata MASA menyokong dasar kabotaj negara, “yang harus dilaksanakan sepenuhnya dan tidak mengecualikan bidang tertentu, dengan sebenarnya pengecualian sebelum ini hanya mengecualikan sistem kabel yang mendarat di Malaysia tetapi bukan sistem kabel yang bersifat transit.”

“Terdapat antara 10,000 kilometer dan 15,000 kilometer kabel domestik dan antarabangsa yang menghubungkan Malaysia. Justeru, kita memerlukan lebih banyak kapal kabel tempatan untuk menyokong kabel-kabel ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )