Malaysia berupaya kumpul dana rangsang ekonomi

KUALA LUMPUR,. Penarafan serta pasaran modal Malaysia yang baik memberikan satu kelebihan jika kerajaan perlu mengumpulkan dana bagi merangsang ekonomi domestik yang terjejas akibat tindakan yang diambil semasa pandemik COVID-19.

“Pinjaman domestik dan penerbitan bon adalah pilihan yang ada bagi mengutip pembiayaan untuk mengadakan sebarang pakej rangsangan tambahan atau dana, jika perlu,” kata Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Izuan Ahmad.

Hakikatnya, cadangan ini disokong oleh penarafan Malaysia yang masih utuh, dimantapkan oleh agensi penarafan antarabangsa walaupun Fitch Ratings memberi kadar ‘negatif’, katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin, baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan mempunyai keupayaan untuk membiayai pakej rangsangan.

Namun, jika pakej tambahan diperlukan Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan penerbitan bon.

Bulan lalu, S&P Global Ratings telah mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing jangka panjang ‘A-‘ dan jangka pendek ‘A-2 ‘ Malaysia, dan berkata prospek penilaian jangka panjang kekal stabil.

Kerajaan telah mengumumkan dua pakej rangsangan serta pembiayaan tambahan sebanyak RM260 bilion, sejumlah RM10 bilion diberikan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ini meningkatkan defisit bajet kepada 4.7 peratus bagi tahun ini daripada unjuran awal sebanyak 3.2 peratus.

Suntikan fiskal langsung kerajaan adalah RM35 bilion.

Izuan menambah, dalam melebarkan defisit fiskal, kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk membiayai suntikan fiskal langsung sebanyak RM35 bilion di bawah pakej rangsangan, termasuk membuat pelarasan semula ke atas perbelanjaan operasi terpilih, meningkatkan hasil tambahan bukan cukai dan mengecualikan sementara had statutori ke atas pengurusan hutang awam.

Pendapat beliau turut dikongsi oleh Pensyarah Ekonomi Sunway University Business School, Profesor Dr Ya Kim Leng yang memberitahu pembiayaan defisit yang lebih tinggi melalui pinjaman kerajaan memang dijangka tahun ini, pelarasan semula dalam beberapa perbelanjaan utama dan pengewangan aset akan membantu mengurangkan beban hutang.

“Terdapat kapasiti yang mencukupi dan selera pelabur dalam pasaran modal hutang bagi menyerap lebih banyak bon kerajaan. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk meminjam secara terus daripada institusi kewangan termasuk bank pusat sekiranya perlu.

“Hanya wujud risiko minimum membabitkan penurunan taraf kedaulatan selagi kerajaan melakukan penggabungan fiskal dan perbelanjaan berhemat apabila ekonomi kembali pulih dalam setahun atau dua tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )