MAHB tawar pakej bantuan baharu kepada peruncit

MAHB tawar pakej bantuan baharu kepada peruncit

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan pakej bantuan yang baharu kepada semua peruncitnya dengan rebat sewa 100 peratus selama enam bulan, mulai Julai sehingga Disember 2020.

MAHB dalam satu kenyataan berkata pakej bantuan itu akan menggantikan tawaran yang diumumkan pada September lepas, yang mana penyewa runcit lapangan terbang berkenaan diberikan rebat sewa sehingga 50 peratus selama enam bulan tahun ini.

Ini diikuti moratorium selama enam bulan ke atas sewa, yang berkuat kuasa dari Mei hingga Oktober.

Bagi peruncit sedia ada yang telah mendaftar di bawah program penetapan semula komersial, pakej bantuan itu disesuaikan untuk menawarkan rebat sewa 30 peratus bermula Januari 2021, dengan mekanisme bagi membayar pampasan kepada mereka dengan lanjutan kontrak berdasarkan kadar pertumbuhan trafik sebenar, kata MAHB.

”Mulai 2021 dan seterusnya, peruncit sedia ada hanya akan dikenakan sewa berdasarkan kadar pertumbuhan penumpang sebenar di lapangan terbang. Sebagai contoh, jika trafik penumpang berada pada 20 peratus, maka mereka hanya akan membayar 20 peratus daripada sewaan penuh.

”Model penyewaan yang baharu ini, yang terpakai bagi mereka yang di bawah program penetapan semula komersial, akan membolehkan penyewa runcit yang layak menikmati pengurangan sewa sehingga 30 peratus daripada kadar semasa, dengan faedah tambahan untuk mengimbangi jurang trafik lebih rendah daripada 70 peratus dengan tempoh kontrak yang dilanjutkan,” katanya.

Selain itu, syarikat penerbangan yang menjadi rakan kongsi juga akan menikmati rebat sehingga 30 peratus ke atas caj aeronautik seperti pendaratan, tempat letak pesawat, jambatan udara dan caj kaunter daftar masuk tetapi tidak membabitkan caj perkhidmatan penumpang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, pakej bantuan itu diperkenalkan sebagai respons kepada permintaan penyewa yang sedang berdepan dengan cabaran aliran tunai, terutama dengan pengenaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

“Apa yang kami lakukan untuk peruncit kami sudah amat banyak dan melebihi apa sahaja pakej bantuan yang ditawarkan oleh mana-mana pusat membeli-belah di bandar, dan kami percaya bahawa ia adalah pakej yang adil bagi semua pihak dalam keadaan tersebut.

“Kami membuat langkah ini sejajar dengan prinsip panduan yang kami ada walaupun kami sendiri berada dalam kerugian sejak tiga suku terakhir dan langkah ini akan mengurangkan rizab tunai kami lebih mendalam,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )