MAHB perkasa aktiviti peruncit Bumiputera di lapangan terbang

MAHB perkasa aktiviti peruncit Bumiputera di lapangan terbang

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk berkongsi peluang runcit yang tersedia di lapangan terbang bersama-sama ahli Organisasi Peruncit Bumiputera (BRO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata memupuk agenda Bumiputera sering menjadi strategi utama MAHB, malah, kumpulan pengendali lapangan terbang itu memulakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sejak 2006.

Ia menyediakan sebanyak 15 hingga 20 lot runcit kepada peruncit Bumiputera sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggung jawab sosial korporat.

“Penyertaan Bumiputera dari segi ruang runcit di lapangan terbang antarabangsa kami adalah 33 peratus yang kebiasaannya lebih tinggi berbanding kebanyakan pusat beli-belah di Lembah Klang. Dari segi jumlah outlet runcit, terdapat 800 outlet runcit di seluruh rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports dan hampir 20 peratus daripadanya telah diisi usahawan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Shukrie berkata sejak dua tahun lepas, MAHB menambahbaik program pembangunan usahawan Bumiputera di lapangan terbang itu menerusi strategi RESET Komersial.

Strategi ini menggariskan inisiatif ‘Sense of Malaysia’ (Sentuhan Malaysia) antaranya pelanggan berpeluang mendapatkan produk-produk tempatan yang berkualiti, bungkusan menarik dan dipamerkan di lot runcit dengan cita rasa Malaysia yang berbeza.

SOM adalah inisiatif berterusan dan telah mencatatkan kejayaan dalam beberapa kempen runcit seperti HIMPUN yang memberi tumpuan kepada jenama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti fesyen, jenama kraf dan kecantikan, manakala KUEHKITA menumpukan kepada jenama PKS bagi produk makanan tempatan.

Kempen-kempen ini dijalankan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata strategi dan perancangan MAHB menerusi RESET Komersial telah meningkatkan piawaian runcit di lapangan terbang yang bukan sahaja mengiktiraf jenama antarabangsa, malah peneraju di peringkat tempatan khususnya usahawan Bumiputera.

Mereka menerima manfaat daripada inisiatif ini berikutan KLIA adalah pusat yang menghimpunkan jutaan tetamu dan penumpang pada setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, MAHB dan PUNB berhasrat mencapai objektif dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan menyediakan sokongan bagi memastikan perniagaan bumiputera daripada industri seperti makanan dan minuman serta fesyen mengisi sebahagian daripada ruang runcit di KLIA dan lapangan terbang antarabangsa yang lain.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )