MAFI turunkan kuasa kelulusan lesen perikanan laut dalam C2 kepada Pengarah Perikanan Sabah

MAFI turunkan kuasa kelulusan lesen perikanan laut dalam C2 kepada Pengarah Perikanan Sabah

LABUAN,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menurunkan kuasa berhubung pemberian kelulusan lesen perikanan laut dalam C2 kepada Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sabah bermula 1 Disember depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata langkah itu adalah selari dengan pembangunan sektor perikanan di Sabah.

“Sebelum ini, kelulusan lesen itu diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan hasil perbincangan (di peringkat kementerian), kerajaan memutuskan menurunkan kuasa pemberian kelulusan untuk lesen ini kepada Pengarah Perikanan Negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang memproses ikan tuna di Jalan Patau-Patau dekat sini hari ini.

Beliau berkata penurunan kuasa ini bertujuan mempercepat proses kelulusan permohonan lesen itu selain menambah baik industri perikanan laut dalam di Sabah.

“Industri perikanan laut dalam masih mempunyai ruang yang besar untuk diterokai dan dibangunkan pada masa hadapan,” katanya.

Ronald berkata sektor pengeluaran produk hiliran adalah antara industri perikanan laut dalam di negara itu yang masih belum dibangunkan secara meluas.

“Terdapat pelbagai isu dan permasalahan yang diajukan oleh pemain industri hiliran termasuk pemasaran dan perkara ini akan diberi perhatian sewajarnya.

“Sudah semestinya kita memerlukan sokongan dan penglibatan pemain industri perikanan bagi membantu kita merealisasikan hasrat kerajaan yang mahu melihat industri perikanan laut dalam dibangunkan secara mapan,” katanya.

Beliau juga berkata industri perikanan negara masih mampu memenuhi keperluan domestik dan seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )