MAFI perkenal projek ternak udang galah dalam sawah padi

MAFI perkenal projek ternak udang galah dalam sawah padi

PASIR SALAK,. Sawah padi dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak di sini, menjadi lokasi Projek Rintis Integrasi Tanaman Padi dan Ternakan Udang Galah bersama syarikat swasta, untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek seluas lebih satu hektar dengan kerjasama Felcra Seberang Perak dan Thirty Three Management Sdn Bhd itu, menggunakan baja organik bebas kimia untuk membolehkan tanaman padi dan penternakan udang galah dilaksanakan serentak, bermula Mei lepas.

Katanya pesawah yang terlibat dalam projek tersebut dijangka mendapat pulangan dianggarkan melebihi RM10,000 dengan jualan hasil padi dan udang galah bagi keluasan satu hektar, berbanding hanya hasil padi dengan purata RM5,000 untuk keluasan yang sama.

“Penanaman padi dibahagikan kepada 70 peratus manakala 30 peratus kawasan projek ini dijalankan ternakan udang galah.

“Ini juga menambah pendapatan dengan hasil tuaian padi selama kira-kira tiga bulan, manakala udang galah selepas lima bulan,” katanya pada sidang media selepas melawat Kawasan Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di sini hari ini.

Ronald berkata projek yang sama sedang dirancang untuk diusahakan di kawasan IADA Pekan dan IADA Rompin di Pahang dalam masa terdekat.

Menurutnya, projek berkenaan mementingkan penggunaan baja bebas kimia untuk membolehkan penternakan udang dijalankan serentak, di samping turut mempromosikan beras dan udang galah organik buatan Malaysia yang berkualiti tinggi kepada pasaran tempatan dan luar negara.

Selain itu, katanya, program SMART SBB juga akan dilaksanakan di kawasan Felcra Seberang Perak melibatkan keluasan 140 hektar yang dijangka meningkatkan pendapatan pesawah sebanyak 47 peratus atau RM2,521 per hektar.

Beliau berkata sebuah syarikat peneraju di kawasan tersebut, FGV Integrated Farming Holdings Bhd, akan memfokuskan kepada penanaman padi wangi MRQ76 keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama IADA Seberang Perak dan FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd.

Katanya padi wangi itu mampu memberikan pulangan tinggi iaitu sebanyak RM1,540 per tan metrik berbanding padi putih yang dijual sebanyak RM1,200 per tan metrik.

SMART SBB merupakan suatu program penyatuan tanah sawah berskala besar, bermatlamat meningkatkan produktiviti sawah melalui pengurusan sumber secara optimum dan cekap.

Ia bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah dan pengusaha dengan jalinan kerjasama pintar dan strategik antara sektor awam dan swasta melibatkan beberapa syarikat peneraju.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )