MAFI lancar buku untuk panduan agropreneur muda

MAFI lancar buku untuk panduan agropreneur muda

PUTRAJAYA,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan Buku Inspirasi Agropreneur Muda dan Buku Lembaran 2020 Agropreneur Muda untuk dijadikan panduan dan rujukan agropreneur muda di negara ini.

Pelancaran kedua-dua buku berkenaan disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee ketika merasmikan Program My Best Buy Aidilfitri di sini semalam.

MAFI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Buku Inspirasi Agropreneur Muda yang pertama kali diterbitkan itu menceritakan mengenai perubahan-perubahan positif terhadap 130 usahawan yang telah menerima Geran Agropreneur Muda bermula 2016 hingga 2020.

“Usahawan-usahawan ini telah berjaya melonjakkan pendapatan daripada usaha gigih mereka menjalankan projek dalam sektor pertanian, ternakan, perikanan dan industri makanan,” menurut kenyataan itu.

Buku Lembaran 2020 Agropreneur Muda pula merakamkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Unit Agropreneur Muda (UAM) dengan kerjasama semua jabatan dan agensi di bawah MAFI sepanjang tahun lepas.

Menurut MAFI, UAM merancang pelbagai program promosi, galakan pasaran dalam dan luar negara, kursus serta pemantauan projek bagi 2020 namun perancangan itu perlu diselaraskan semula apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020.

“Terkesan dengan perkara ini (pelaksanaan PKP), UAM mengambil langkah penyusunan semula mengikut kesesuaian norma baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Program pemantauan dan turun padang juga telah dijenamakan sebagai Jelajah Agropreneur Muda dan ia mendekatkan golongan muda dengan menteri, timbalan menteri serta pengurusan tertinggi kementerian,” menurut MAFI.

MAFI menyatakan kejayaan pelaksanaan program akan direkodkan dalam Buku Lembaran 2020 Agropreneur Muda sebagai tanda usaha berterusan kementerian dalam menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian dan agromakanan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )