MAFI berjaya laksana pelbagai jenis inisiatif di Sabah dan Sarawak pada tahun 2020 – Kiandee

MAFI berjaya laksana pelbagai jenis inisiatif di Sabah dan Sarawak pada tahun 2020 – Kiandee

PUTRAJAYA,. Walaupun berdepan dengan wabak pandemik COVID-19, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membangunkan sebanyak 10 outlet peruncitan di Sabah dan Sarawak yang meliputi projek seperti Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, Pasar Tani, Agrobazaar K-Shoppe dan Gerai Buah-buahan FAMA (GBBS).

“Pembangunan outlet ini telah memberi manfaat kepada 401 usahawan dengan nilai jualan sebanyak RM117 juta berakhir Disember 2020.”

“Selain itu, FAMA telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menaik taraf Pasar Tamu Kunak di Sabah dengan kos RM800,000 dan Pasar Tamu Sebuyau di Sarawak dengan kos RM800,000. Projek ini memberi manfaat kepada 360 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pencapaian Setahun Malaysia Prihatin (MAFI), di ibu pejabatnya, kelmarin.

Menurut beliau lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga telah melaksanakan Program Kawalan Penyakit khususnya bagi penyakit rabies di Sabah dan Sarawak merangkumi pemberian suntikan vaksin antirabies kepada 90,000 haiwan kesayangan anjing dan kucing.

“Di Sarawak, sebanyak 80,000 haiwan kesayangan anjing dan kucing pada tahun lepas berbanding 20,000 ekor haiwan yang didaftarkan di Sabah,” katanya.

Selain itu, MAFI menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan projek secara tersasar di Sabah bagi memastikan hasil perikanan tidak terjejas sekali gus meningkatkan meningkatkan kualiti produk perikanan.

Kiandee berkata, antara projek yang telah dilaksanakan DOF ialah membangunkan projek akuakultur merangkumi projek ternakan udang akuakultur, projek industri rumpai laut serta projek ternakan ikan sangkar marin di Lahad Datu dan Beluran.

“DOF turut melaksanakan Program Pengauditan dan Pensijilan FQC /MyGAP serta Peningkatan Kemudahan Biosekuriti bagi memenuhi keperluan MyGAP di Sabah termasuk kawalan daripada aspek biosekuriti bagi meningkatkan kualiti produk perikanan.”

“Selain itu, DOF telah memberikan bantuan dari segi pembekalan peralatan pemprosesan hasil hiliran dan menaik taraf bengkel usahawan kepada golongan sasar Bagi Peningkatan Pengeluaran Ikan (Touch Point) kepada penternak akuakultur dan pengusaha produk perikanan (pengembangan) di Negeri Sabah.

“Pada masa sama, DOF telah memperkukuh Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) di Sandakan, Tawau, Semporna, Kudat dan Pitas (Konsultasi dan penyediaan Buku).

“Antara projek lain yang telah dilaksanakan di Sabah ialah memudah cara dan membantu syarikat-syarikat akuakultur dengan mengadakan perbincangan bersama pihak UPEN Sabah, SESB dan Jabatan Air Negeri Sabah bagi mendapatkan bekalan elektrik dan sumber air bersih serta melabuhkan tukun tiruan sebanyak 200 unit di perairan Lahad Datu, Tawau, Banggi, Tuaran dan Beluran,” jelas beliau.

Berbicara lanjut, Kiandee berkata, Program Agropreneur Muda juga merupakan salah satu inisiatif MAFI yang berjaya dilaksanakan di Negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi tahun 2020, seramai 163 agropreneur muda dari negeri Sabah dan Sarawak telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda (GAM) yang berjumlah RM 3.09 juta untuk pembangunan projek pertanian.

“Seramai 86 agropreneur muda dari negeri Sabah telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda (GAM) yang berjumlah RM 1.65 juta.

“Manakala bagi negeri Sarawak, seramai 77 agropreneur muda telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda yang berjumlah RM1.44 juta,” katanya.

Kiandee berkata, pada tahun lalu MAFI menerusi Program Geran Pemadanan bagi Usahawan Industri Asas Tani telah meluluskan geran bernilai RM328,203.74 kepada 12 usahawan di Sabah dan geran bernilai RM272,132.50 kepada lapan usahawan di Sarawak.

“Manakala di bawah Program Geran Agropelancongan, MAFI telah meluluskan geran bernilai RM40,000 bagi satu pusat agropelancongan di Sabah.”

“Di samping itu, sebanyak dua Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran telah diluluskan peruntukan seba-nyak RM150,000 di Sabah bagi penambahbaikan ruang melalui pengubahsuaian dan binaan bangunan yang mematuhi kehendak persijilan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )