MAFI agih 120 tan hasil sitaan keluaran pertanian bagi makanan haiwan sejak Januari

MAFI agih 120 tan hasil sitaan keluaran pertanian bagi makanan haiwan sejak Januari

PASIR MAS,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menyumbang 120 tan hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian bernilai RM2.1 juta untuk makanan haiwan kepada jabatan dan agensi berkaitan yang memerlukan sejak Januari hingga bulan lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata sumbangan itu diagihkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menerusi Program MAFI Prihatin.

“Kesemua bekalan makanan haiwan itu hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan telah dilucut hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan,” katanya pada sidang media selepas Program Serahan Bekalan Makanan Haiwan di Pejabat MAQIS Kelantan, Rantau Panjang di sini hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut, Nik Muhammad Zawawi berkata sejumlah 11 tan hasilan haiwan seperti keratan ayam sejuk beku, daging sejuk beku dan pelbagai sosej bernilai RM87,000 diagihkan kepada jabatan dan agensi yang memerlukan termasuk Zoo Taiping, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Jabatan Penjara Marang, Jabatan Penjara Machang serta Jabatan Penjara Pengkalan Chepa.

“Ia bertujuan memastikan bekalan makanan haiwan kepada Zoo Taiping dan NWRC mencukupi, manakala bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata MAFI menerusi MAQIS akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya melibatkan dagangan ayam dan daging.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )