Lulusan kejuruteraan awam bersyukur, perniagaan bundle bawa pulangan lumayan

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

PASIR MAS,. Lelah mencuba pelbagai pekerjaan selepas tamat pengajian di Politeknik Kota Bharu, Nur Fatin Syuhada Mohd Saat yang memiliki Diploma Kejuruteraan Awam akhirnya terjun ke dalam bidang perniagaan “bundle” atau pakaian terpakai dengan memanfaatkan sepenuhnya platform dalam talian Facebook.

Bermula dengan modal RM100 pada 2019, gadis berusia 27 tahun itu kini memperoleh pendapatan yang agak lumayan.

“Saya pernah melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di kedai serbaneka dan menjadi telemarketer di sebuah bank sebelum saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Saya ambil masa setahun pada 2018 untuk mempelajari selok-belok perniagaan bundle sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada penghujung tahun lepas,” katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Gual Sitok di sini.

Menurutnya, laman Facebook ‘Gadis Bundle by Nur Fatin Syuhada’ kini mempunyai hampir 8,000 pengikut dan setiap kali melakukan jualan secara langsung menerusi Facebook Live (FB Live) beliau mampu menjual hingga 300 helai pakaian wanita dalam tempoh dua hingga empat jam.

“Kebiasaanya saya akan melakukan ‘FB Live’ sekitar 10 malam selama empat hari seminggu dengan menayangkan setiap helai baju ketika bersiaran dan jika pelanggan berminat mereka akan meninggalkan komen pada setiap baju yang ditunjuk.

“Jualan secara dalam talian ini juga berjaya menarik pelanggan dari seluruh negara termasuk Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan sebagainya,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Menurut Nur Fatin Syuhada, beliau mempunyai cara tersendiri untuk meletak harga pada pakaian yang dijualnya, bermula serendah RM3 hingga RM20.

Katanya buat masa ini beliau beroperasi di rumahnya dan turut dibantu ibu saudaranya Harlina Mukhtar, 53 dan bapa saudara Mohd Nasri Majid, 57.

“Saya tidak pernah sesekali menyangka perniagaan pakaian terpakai ini mampu memberi pulangan yang lumayan, malah melebihi pendapatan orang makan gaji,” katanya yang menyeru siswazah menganggur menceburi bidang itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )