LPNM diwujudkan di Sabah untuk rancakkan industri nanas – Ronald

LPNM diwujudkan di Sabah untuk rancakkan industri nanas – Ronald

SERDANG,. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan diwujudkan di Sabah bagi meningkatkan pengeluaran serta meluaskan penanaman nanas di Negeri Di Bawah Bayu itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Katanya, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan bakal direalisasikan dalam masa terdekat.

Menurut Ronald, industri penanaman nanas di Sabah masih kurang berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Perbincangan menunjukkan reaksi positif. Ini salah satu usaha bagi merancakkan industri nanas di Sabah. Dengan adanya LPNM (di Sabah) kelak, lembaga ini akan memudahkan pengurusan sektor ini selain menggalakkan lebih ramai menyertai industri nanas secara komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi LPNM Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Berkongsi mengenai pengeluaran nanas negara, Ronald berkata kapasiti pengeluaran nanas adalah 400,000 tan metrik setahun dengan nilai lebih RM500 juta.

Bagaimanapun, katanya, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran di luar negara, bahkan pasaran tempatan.

“Kerajaan yakin, LPNM mampu meningkatkan keluasan tanaman nanas negara yang ketika ini berkeluasan 16,000 hektar kepada 20,000 hektar bagi menampung permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran eksport malah dalam negara,” katanya.

Mengenai peruntukan bagi memperkasakan industri itu, Ronald berkata kerajaan memperuntukkan RM13 juta kepada LPNM untuk dimanfaatkan kira-kira 5,000 pengusaha nanas yang terdiri daripada pekebun, usahawan industri asas tani serta usahawan pemasar, pengangkut dan penjual.

Terdahulu pada majlis itu, beliau menyerahkan Insentif PRE Prihatin kepada 20 wakil pengusaha nanas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )