LKIM bina stor simpan beku di lima negeri

LKIM bina stor simpan beku di lima negeri

BUKIT GANTANG,. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang melaksanakan pembinaan lima stor simpan beku ikan bernilai RM25 juta untuk membantu pemasaran dan pengedaran ikan bagi mengatasi lambakan ikan.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata projek pembinaan stor itu sedang dibangunkan di Kuala Besut, Terengganu; Kuantan, Pahang; Lumut, Perak; Kuala Kedah, Kedah; dan Sandakan di Sabah.

Beliau berkata, semua projek itu dijangka siap pada bulan Mei tahun depan, dengan setiap stor boleh menyimpan 10,000 tan ikan.

Menurutnya, LKIM membantu nelayan dengan membeli serta memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar-pasar nelayan di seluruh negara, dan sehingga kini 87 persatuan nelayan turut membantu dalam menjaya-kan inisiatif itu.

“Melalui usaha ini, tidak akan berlaku lambakan ikan di pasaran,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sidang media selepas menghadiri program Kedai Bergerak Parlimen Bukit Gantang di Taman Mewah, Kamunting dekat sini semalam.

Sementara itu Syed Abu Hussin berkata program Kedai Bergerak merupakan inisiatif yang digerakkan oleh beliau sendiri sejak 10 tahun lepas bagi membantu penduduk setempat dalam menangani pelbagai cabaran ekonomi, dan juga peluang kerja yang terhad.

Beliau berkata melalui usaha ini, pihaknya membeli barangan secara borong dan menjualnya kepada penduduk dengan harga runcit, malah turut menawarkan potongan harga 30 peratus.

“Ini dapat mengurangkan harga barang, kerana harga barang di luar bandar biasanya lebih tinggi di-sebabkan kos pengangkutan untuk membawa barang berkenaan. Bukit Gantang adalah kawasan luar bandar, dengan 70 peratus penduduk bekerja sendiri di kampung, dan 30 peratus adalah kakitangan kerajaan dan swasta,” katanya.

Katanya Kedai Bergerak itu ditempatkan di enam lokasi berlainan setiap bulan, menawarkan pelbagai barangan keperluan asas bagi membantu supaya orang ramai tidak perlu bergerak dengan jauh untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Syed Abu Hussin semalam turut mengedar satu tan ikan kembung yang dibelinya dari Kuala Selangor, kepada kira-kira 500 penduduk di kawasan Taman Mewah, di samping menyerahkan bantuan kewangan RM33,000 untuk surau, RM45,000 untuk masjid dan RM39,000 untuk Rukun Tetangga di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )