Lima usahawan Terengganu terima GAM berjumlah RM80,000

KUALA TERENGGANU,. Lima usahawan Terengganu menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) berjumlah RM80,000 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pegawai Penyelidik Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan MARDI Terengganu, Nor Azmah Umar berkata daripada jumlah itu, tiga usahawan terlibat dalam bidang tanaman manakala dua lagi menceburi bidang industri asas tani.

“Dua usahawan bidang pertanian itu masing-masing menanam cili fertigasi di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala seorang lagi mengusahakan tanaman cendawan di Besut.

“Dua lagi usahawan industri asas tani yang terpilih pula mengusahakan produk pes makanan di Besut dan produk makanan sejuk beku Durian Crepe di Kuala Nerus,” katanya kepada Bernama hari ini.

Program Agropreneur Muda dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk golongan muda yang berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan mereka dalam sektor agromakanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agropelancongan.

Dalam pada itu, Nor Azmah berkata permohonan untuk fasa kedua dan ketiga geran perniagaan tersebut akan terus dibuka sepanjang tahun ini memandangkan kekangan masa akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang menyukarkan usahawan untuk membuat permohonan dalam masa yang ditetapkan.

“Tempoh permohonan akan dilanjutkan dan saya sangat menggalakkan usahawan muda untuk membuat permohonan serta cadangan perancangan menggunakan geran tersebut bagi meningkatkan kapasiti.

“Geran Agropreneur Muda akan diberi kepada usahawan yang menepati kriteria ditetapkan dan potensi untuk mereka lebih berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )