Lapor segera sekiranya ada pihak manipulasi harga benih padi sah

Lapor segera sekiranya ada pihak manipulasi harga benih padi sah

PARIT BUNTAR,. Pesawah padi di Kerian diminta melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sekiranya terdapat pihak yang memanipulasi harga benih padi sah melebihi pada harga yang ditetapkan iaitu RM35 bagi setiap 20 kilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria bagaimanapun berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan meskipun terdapat dakwaan segelintir pesawah di daerah itu mengenai isu berkenaan.

“Kita minta pesawah membeli benih padi sah daripada pengedar tunggal Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan jangan membeli dengan pihak atau individu yang cuba memanipulasi harga benih padi dengan menaikkan harga daripada yang telah ditetapkan kerajaan.

Kita memberi jaminan benih padi sah sentiasa mencukupi jadi mereka (pesawah) tidak perlu khuatir dan bimbang dengan bekalan benih padi sah di sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Pangkalan Polis Marin Kuala Kurau di sini semalam, selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Kuala Kurau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau Leftenan Maritim Mohd Faiz Sujari berkata operasi bermula jam 9 pagi melibatkan kira-kira 30 pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pejabat Perikanan Daerah Kerian serta dibantu 20 bot nelayan daripada Persatuan Nelayan Tanjung Piandang.

Beliau berkata mangsa Ng Choon Lee berusia 62 tahun ditemukan lemas oleh sekumpulan nelayan, 11 pagi tadi kira-kira 15 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh daripada bot semasa menangkap ikan, Sabtu lepas.

Selain Razman, operasi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )