Kuih raya Nahar Power tetap ‘dicari’ walau musim PKPB

JOHOR BAHRU,. Nahar Power, gerai menjual biskut tradisional dan moden di Angsana Mall, di sini, memang tidak asing bagi orang ramai di sekitar bandar raya Johor Bahru mendapatkan kuih raya sempena sambutan Aidilfitri.

Sebut sahaja rempeyek, tumpi, popiah mini, bangkit santan, tart nanas, batang buruk serta semperit, pasti terbayang kerangupan dan keenakan kuih yang lazimnya ‘dicari’ pelanggan saban tahun.

Di saat dunia berhadapan ancaman COVID-19 dan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemilik Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 50, bersyukur beliau masih tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan di gerai yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lepas walaupun mengakui perniagaannya terjejas hampir 50 peratus akibat wabak itu.

Selaras dengan pelaksanaan PKPB, gerai Nahar Power tidak terkecuali daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, dan pelanggannya dilihat selesa dengan kebiasaan baharu seperti menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai cecair pembasmi kuman serta mematuhi penjarakan sosial masing-masing.

Memandangkan surau di pusat membeli-belah itu ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lepas, Mohd Naharudin turut mengambil inisiatif menyediakan ruang solat di sudut belakang gerai berkenaan bagi kemudahan empat pekerjanya.

“Saya mula melakukan sanitasi gerai, memasang pelekat penanda jarak serta penyusunan biskut raya ini pada 8 Mei. Terima kasih kepada kerajaan yang memberikan kelonggaran kepada peniaga untuk kembali memulakan perniagaan masing-masing dan orang ramai untuk keluar berbelanja sempena musim perayaan ini.

“Ini kerana sekurang-kurangnya dapat saya membayar sewa gerai dan gaji pekerja,” katanya yang ditemui Bernama di gerainya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Naharudin, lazimnya, beliau menjual sehingga 60 jenis biskut, rempeyek, tumpi serta pelbagai kek lapis pada tahun sebelum ini, namun, kali ini hanya menjual 20 jenis biskut dan lima jenis kek lapis popular bagi mengelakkan risiko kerugian sekiranya kekurangan pelanggan.

Di saat berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, Nahar Power yang beroperasi mulai 10 pagi hingga 9 malam setiap hari, masih mengekalkan harga sama seperti tahun lepas bagi semua jenis biskut yang dijual antara RM25 dan RM30 sebalang.

Sebagai alternatif memudahkan pelanggan mendapatkan biskut raya, Mohd Naharudin berkata pusat edaran biskutnya di Jalan Kenangan, Kampung Melayu, yang sebelum ini khusus kepada pembeli pukal, kini dibuka kepada pembeli biasa.

“Selaras dengan perkembangan teknologi, Nahar Power turut menyediakan perkhidmatan jualan dalam talian dan pembayaran tunai semasa serahan (CoD) di sekitar bandar raya ini, namun, tidak banyak kerana kami takut biskut rosak atau pecah apabila diterima pelanggan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohamad Azhan Md Amir, 50, berkata rempeyek, popiah mini dan bangkit santan merupakan ‘kuih wajib’ dibelinya setiap tahun yang menjadi kegemaran keluarganya.

“Semua kuih raya Nahar Power bermutu tinggi, maka, tidak hairan jika ia turut mendapat permintaan warga Singapura. Kebetulan saya mempunyai urusan kerja di sini, jadi dapatlah saya singgah membelinya termasuk 30 balang kuih lain yang dipesan beberapa rakan untuk dibawa pulang ke Putrajaya,” kata penjawat awam berkenaan.

— BERNAMA

Oleh SUHAINI MOHD KHALID

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )