Kuih bakar durian laris musim PKP

KUANTAN,. Seorang usahawan produk sejuk beku berjaya melakukan inovasi kuih bakar dengan menambah durian ke dalam resipi kuih tradisional itu.

Hasanah Shariff, 49, kini mampu meraih jualan lima angka selepas satu daripada 125 jenis produk sejuk beku yang dihasilkan itu mendapat sambutan pelanggan.

Hasanah yang juga Pengarah Ana Saji Resources, berkata, kuih bakar durian digemari kerana rasanya yang sedap serta aroma yang memikat selera apabila dibakar, mudah dan hanya memerlukan sedikit masa ketika penyediaan.

Kuih Bakar Durian diisi dalam loyang sebelum dibakar dan dimasukkan ke dalam peti sejuk beku. Gambar kecil: Hasanah

“Saya juga tidak menyangka tempahan meningkat sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, pengeluaran terpaksa dihentikan apabila PKP diumumkan tetapi mujur saya menyediakan stok lebih awal.

“Tambahan pula menjelang Ramadan ramai yang memilih kuih ini untuk berbuka dan moreh. Di Pahang dan Pantai Timur hanya Ana Saji yang sediakan perisa durian,” katanya ketika ditemui di premi beliau di Indera Sempurna di sini.

Selain kuih bakar durian, Ana Saji turut menghasilkan martabak opor daging dan ayam, karipap, kuih semosa sepusar daging dan ayam, semosa cendawan dan banyak lagi.

Ibu kepada lima anak itu berkata, cabaran dalam perniagaan terutama cemburu dalam kalangan masyarakat sekeliling tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bangkit mencipta kejayaan selepas 25 tahun menjual kuih.

Kini perniagaan yang dahulunya hanya menggunakan tenaga manual dan niat membantu suami berkembang serta mampu menggunakan teknologi moden.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini berhijrah ke Pahang selepas mengikuti suaminya bertugas sebagai tentera di Kuantan sejak 25 tahun lalu.

“Pada mulanya memasak hanya hobi dan hanya suami yang mencuba tetapi apabila kuih menjadi dan nampak cantik saya berkongsi rezeki dengan jiran dan mendapat pujian. Saya mula menjualnya ke warung kemudian pasar tani dan pasar malam.

“Dari situ saya lihat kuih tradisi ni mendapat sambutan hingga perniagaan berkembang setapak demi setapak. Saya dapat tempahan katering dan mula bekalkan kuih ke kantin-kantin sekolah. Tempahan di kantin sekolah sahaja saya dah tak menang tangan kadang sehingga mencecah RM25,000 sebulan,” katanya

Menyedari potensi pasaran, Hasanah membuat pinjaman menerusi pelbagai skim untuk memperbesarkan perniagaannya.

Ia termasuk membeli bangunan kedai, peralatan memasak serta mengikuti kursus berkaitan bidang perniagaan termasuk kaedah menyediakan masakan secara moden.

Hasilnya perniagaan berjaya menembusi pasaran dalam dan luar negara bahkan produk Ana Saji kini berada di pasaraya-pasaraya besar seluruh negara termasuk Singapura dan China.

Lumrah dunia perniagaan penuh berliku, ketika negara dilanda pandemik covid-19, perniagaannya merosot lebih 60 peratus.

Hasanah bersyukur kerana 12 pekerjanya mendapat bantuan secara one-off menerusi Geran Khas Prihatin untuk menampung pendapatan.

Bagi memulihkan perniagaannya beliau kini sedang dalam proses memanfaatkan dana yang disediakan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat disediakan kerajaan.

–SINAR HARIAN

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )