Kualiti aset bank-bank akan meningkat dalam 3-6 bulan akan datang

KUALA LUMPUR,. Kualiti aset bank-bank Malaysia dijangka meningkat ke tahap sebelum COVID-19 dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang melalui pembayaran balik pinjaman dan bantuan.

Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank Bhd, Rakesh Kaul berkata keputusan suku kedua bagi kebanyakan bank telah mencerminkan kesan moratorium enam bulan.

“Industri perbankan jelas menjangkakan beberapa tekanan selepas moratorium dan ini dicerminkan dalam beberapa langkah yang telah diambil oleh kebanyakan bank. Saya rasa ini merupakan tindakan yang berhemah,” katanya.

Bagaimanapun, bank-bank sedang melihat peningkatan dalam kualiti aset.

“Jadi kami berpendapat ia akan pulih kepada normal dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dan kembali ke tahap sebelum COVID-19,” katanya pada sesi meja bulat media bersama ketua-ketua bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini hari ini.

Peningkatan kualiti aset perlu dibuat dalam dua arah iaitu pelanggan perlu memainkan peranan mereka, yang akhirnya akan memberi kebaikan kepada industri dan ekonomi negara, kata Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan.

“Ia tidak boleh bersifat sebelah pihak sahaja. Apabila pelanggan tampil ke hadapan, kami akan melihat kesesuaian yang mereka perlu dan seterusnya, kami akan mampu menangani isu kualiti aset,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kualiti aset adalah penyebab utama mengapa moratorium perlu ditamatkan.

“Kami perlu menilai dan mendapatkan data mengenai kumpulan yang paling terjejas. Jika moratorium ini diteruskan, semua bank tidak dapat menjamin kualiti aset mereka, yang bermaksud industri perbankan tidak akan dapat memberi pinjaman dan membantu ekonomi pulih,” katanya.

Untuk membolehkan ekonomi pulih, industri perbankan perlu kukuh serta mampu menyediakan pembiayaan yang diperlukan bagi perniagaan makmur dan berkembang.

Oleh itu, moratorium yang disasarkan adalah pendekatan yang lebih baik, tambahnya.

Pada taklimat meja bulat itu, bank-bank mengulangi komitmen mereka untuk memberikan fleksibiliti pembayaran balik kepada peminjam lain, sama ada individu atau perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Pihak bank telah membenarkan peminjam membayar hanya bahagian faedah pinjaman dalam tempoh tertentu, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman untuk mengurangkan ansuran bulanan dan menyediakan bentuk fleksibiliti yang lain sehingga peminjam berada dalam kedudukan yang lebih stabil bagi menyambung semula pembayaran balik sepenuhnya.

Sehingga 11 Sept, 2020, bank-bank ini telah menghubungi lebih daripada 2 juta peminjam untuk menawarkan bantuan pembayaran balik pinjaman kepada mereka.

Daripada jumlah tersebut, bank telah bercakap dengan 1.4 juta peminjam dan lebih daripada 380,000 peminjam telah mengesahkan keperluan mereka untuk bantuan pembayaran balik pinjaman, sedangkan bakinya sedang mempertimbangkan opsyen pembiayaan yang tersedia untuk mereka.

Sejumlah 98 peratus permohonan bantuan pembayaran pinjaman telah diluluskan oleh bank.

Proses permohonan untuk individu dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari, manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ia dijangka mengambil masa selama tiga hari hingga dua minggu.

Pelbagai saluran disediakan untuk memudahkan peminjam mendapatkan bantuan seperti platform dalam talian termasuk memanjangkan waktu operasi bank sehingga ke hujung minggu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )