KPDNHEP lancar Garis Panduan Pengurusan Bencana Bagi Kelestarian Bekalan Keperluan

KPDNHEP lancar Garis Panduan Pengurusan Bencana Bagi Kelestarian Bekalan Keperluan

PUTRAJAYA,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Bencana Bagi Kelestarian Bekalan Barangan Keperluan, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan bermulanya fasa Monsun Timur Laut bulan ini hingga akhir Mac 2021.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan semalam berkata, antara tindakan di bawah garis panduan itu termasuklah mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana, melalui pusat arahan penguatkuasaan di negeri-negeri terlibat.

Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan dipergiatkan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan, sama ada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

KPDNHEP juga, katanya membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih, di kawasan-kawasan berisiko banjir.

Nanta turut menegaskan KPDNHEP akan bertindak ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan kesalahan seperti menyeleweng, menyembunyikan, enggan menjual, mengenakan syarat jualan atau apa-apa kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, tindakan juga akan diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, seperti melakukan pencatutan atau menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang bencana banjir.

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala hukuman bagi badan korporat pula adalah denda tidak lebih RM2 juta.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pula, individu atau bukan pertubuhan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM500,000,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )