KPDNHEP dedah kegiatan usahawan guna istilah francais

KPDNHEP dedah kegiatan usahawan guna istilah francais

MELAKA,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mendedahkan kegiatan sesetengah usahawan yang menyalahgunakan istilah francais dan jualan langsung sebagai jalan mudah untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata walaupun aduan yang diterima tidak banyak, KPDNHEP memandang serius masalah tersebut dengan sebahagian pelaku sudah dikenakan tindakan menurut Akta Francais 1988 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

“Begitu juga dengan francaisor yang menekan francaisi mereka. Jadi, jika ada masalah yang timbul termasuk perjanjian yang tidak ditunaikan, segera laporkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Francais dan Jualan Langsung, Kempen Beli Barangan Malaysia KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) 2021 peringkat negeri Melaka di sini.

Berhubung kebimbangan usahawan untuk menceburi bidang francais disebabkan kos yang tinggi, beliau berkata pelaksanaan program Pembangunan Francais Makro dilihat boleh mengatasi isu itu, khususnya bagi golongan B40 dan M40 yang berhasrat menceburi sektor berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan bersama pemain industri yang berpotensi untuk menawarkan pakej francais mampu milik yang relevan bernilai RM100,000 ke bawah dan francais mikro bernilai RM50,000 ke bawah.

“Inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan M40 di samping menjana pulangan keuntungan kepada francaisor,” katanya.

Rosol seterusnya menggesa mereka yang berminat merebut peluang berkenaan memandangkan setakat ini terdapat 11 jenama francais yang menawarkan pakej mikro dan mampu milik, seperti Arjuna Village, Ani Sup Utara, Taska Bonda Mama, KopieSatu, MD Putu Bambu World dan Ayam D’ Penyet.

Mengenai program jelajah francais berskala kecil Franchise Bay yang dilancarkan hari ini, beliau berkata program bertujuan memberi pendedahan tentang sistem perniagaan francais yang wujud di negara ini.

“Setakat ini terdapat 1,091 jenama francais yang berdaftar dengan 700 daripadanya adalah jenama tempatan.

“Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta pada pameran Franchise Bay sepanjang tahun ini yang juga akan diadakan di Terengganu, Johor, Pahang, Selangor, Kedah dan Sarawak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )