Kita Prihatin, langkah pencegahan kekang permintaan domestik – Ahli ekonomi

KUALA LUMPUR,. Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion merupakan langkah pencegahan jangka pendek untuk mengelak permintaan domestik merosot, antara penyumbang utama kepada kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi negara, kata ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Muamalat Izuan Ahmad berkata penggunaan swasta akan ditingkatkan daripada bantuan kewangan seterusnya kepada kumpulan B40 dan M40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dan 40 peratus pertengahan), berikutan tempoh yang mencabar ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kita Prihatin, terdiri daripada Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.

Pakej Kita Prihatin merupakan lanjutan daripada pakej rangsangan ekonomi sebelum ini, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pakej Prihatin PKS (Tambahan) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM295 bilion, atau kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan berjumlah RM45 bilion.

Izuan berkata lanjutan Program Subsidi Upah dan Geran Khas untuk perusahaan mikro menunjukkan usaha kerajaan yang berterusan untuk memberi bantuan kepada komuniti perniagaan kecil yang terjejas disebabkan pelbagai cabaran.

“Lanjutan tersebut akan membolehkan pengukuhan kelangsungan perniagaan untuk segmen yang disasarkan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada dasarnya, pakej terkini ini menunjukkan bahawa kumpulan pendapatan bersasar dan komuniti perniagaan masih perlu bergantung kepada bantuan daripada kerajaan berikutan mereka terjejas akibat pandemik dan sekatan pergerakan,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, katanya penting untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani impak akibat pandemik terhadap permintaan domestik dan ekonomi, berikutan ia perlu mengambil kira segmen yang disasarkan dalam usaha ke arah pemulihan ekonomi dan kewangan negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang disasarkan pada tahun depan.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus dan lapan peratus pada tahun depan.

Bagi tahun ini, Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak -5.5 peratus dan -3.5 peratus. Pemulihan dijangka secara berperingkat pada separuh kedua 2020.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat pengumuman mengenai Kita Prihatin sebagai langkah bersasar yang diambil oleh kerajaan untuk memacu proses pemulihan ekonomi.

Beliau berkata kenaikan siling hutang daripada 55 peratus kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah subsidi upah dapat mengurangkan kos buruh majikan yang terjejas akibat COVID-19. GKP dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana menguruskan aliran tunai dan modal pusingan mereka serta meningkatkan pengeluaran melalui pelaburan dalam barangan modal.

“Bantuan tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional dapat meringankan beban kewangan golongan B40 dan M40 untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman dan pakaian.

“Oleh itu, ia bersifat bersasar dan sumber kerajaan dapat dioptimumkan selain menggalakkan kesan pengganda dalam ekonomi negara,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )