Kira-kira 260 agropreneur muda Melaka terima geran RM4.33 Juta

Kira-kira 260 agropreneur muda Melaka terima geran RM4.33 Juta

MELAKA,. Kira-kira 260 agropreneur muda di negeri ini menerima bantuan geran berjumlah RM4.33 juta sejak 2016.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, untuk fasa pertama tahun ini, lima permohonan geran agropreneur muda berjumlah RM75,000 telah diluluskan.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam menggalakkan golongan muda terlibat dalam bidang pertanian.

“Melaka melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar negeri juga bersedia membantu termasuk memberi bimbingan teknikal dan asas pertanian kepada mereka,” katanya dalam kenyataan sempena Program Jelajah Agropreneur Muda di sini, hari ini.

Data Jabatan Pertanian yang dikeluarkan melalui Statistik Tanaman 2019 menyatakan Melaka mempunyai 1,915 lot tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian dengan keluasan 2,332 hektar.

“Melaka mempunyai banyak tanah pertanian di kawasan luar bandar untuk diusahakan, justeru itu, golongan muda di negeri ini diseru agar menyertai Program Agropreneur Muda yang pastinya memberi banyak manfaat kepada mereka,” tambahnya.

Untuk rekod, dari 2016 sehingga kini, 6,005 agropreneur muda di seluruh negara mendapat bantuan geran berjumlah RM104.35 juta dan bagi fasa pertama tahun ini, 238 permohonan geran bernilai RM4.01 juta diluluskan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )