Kesan COVID-19: Golongan muda perlu ceburi pertanian, pastikan kelangsungan

KUALA LUMPUR,. Sektor pertanian dan perikanan negara perlu diterajui golongan muda bagi memastikan kelangsungannya dan bekalan makanan yang mencukupi, seterusnya mampu menjana pendapatan negara.

Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Nazilah Abd Latif berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dilihat menekankan pentingnya bekalan makanan yang mencukupi untuk kegunaan dalam negara diberi tumpuan utama.


“Masalah utama yang dihadapi dalam sektor pertanian ialah kebanyakan pemain industrinya adalah golongan berumur yang semakin berkurangan tenaga dan pemikiran pun tidak kuat untuk mengadaptasikan diri mereka dengan perkembangan teknologi semasa.

“Kita mesti ‘grooming’ golongan muda supaya terlibat dalam sektor ini. Ini memerlukan strategi yang kuat bagi memastikan mereka terlibat secara profesional dan tidak boleh jalankan aktiviti pertanian dengan cara lama, kita mesti guna cara moden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Suara Profesor Negara bertajuk “Pasca COVID-19: Strategi Menjana Pendapatan Negara Menerusi Pertanian dan Perikanan” yang diterbitkan Bernama TV dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, di sini hari ini.

Selain itu, Nazilah berkata jiwa petani juga perlu diterapkan dalam diri seseorang sejak di bangku sekolah bagi melahirkan lebih ramai golongan petani yang berjaya menerusi sistem persekolahan yang mewujudkan silibus pertanian yang mampu menarik minat mereka kelak.

Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ghizan Saleh berkata meskipun bidang pertanian sering menjadi pilihan pelajar universiti, tidak ramai yang menceburi bidang tersebut selepas menamatkan pengajian mereka kerana masih dilihat sebagai industri yang ketinggalan.

“Kita perlu tukar pertanian kita kepada pertanian yang disokong oleh teknologi moden. Hanya dengan melonjakkan kedudukan sektor pertanian yang dilihat sebagai maju dan berdaya saing boleh menarik minat golongan muda menyertai bidang ini dan guna teknologi yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Azrin Shah Ismail berpendapat semua pihak perlu menyedari akan kepentingan memastikan stok bekalan makanan dalam negara mencukupi terutama ketika menghadapi tempoh pandemik COVID-19.

“Kita memerlukan tenaga muda dalam sektor perikanan supaya ada kesinambungan, terutama untuk tangkap ikan di laut. Kebanyakan nelayan berumur melebihi 50 tahun … kita memang kekurangan tenaga kerja muda. Dalam minda kita tengok nelayan ini banyak yang menggambarkan nelayan itu golongan tua,” katanya

Azrin turut menyarankan agar kerajaan merangka satu strategi yang dapat mengikis tanggapan tersebut serta mewujudkan faktor penarik bagi golongan muda menyertai sektor perikanan seperti dalam bentuk kewangan atau faedah tambahan lain.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )