Kerjasama masyarakat faktor utama bagi kejayaan Wawasan Malaysia 5.0 – MDEC

Kerjasama masyarakat faktor utama bagi kejayaan Wawasan Malaysia 5.0 – MDEC

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Malaysia dapat memanfaatkan kepelbagaian intelektual yang dikembangkannya dalam kewangan Islam, sektor minyak dan gas, pelancongan serta pertanian industri bagi menyokong model perniagaan baharu yang inovatif terutamanya syarikat pemula niaga teknologi.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Rais Hussain Mohamed Ariff berkata teknologi dibawa oleh Revolusi Perindustrian 4.0 memberikan banyak peluang baharu untuk memantapkan sistem sedia ada.

“Sebagai perbandingan, negara yang ekonominya maju, sering mengalami kerugian apabila gangguan menjejaskan operasi. Pada masa sama, ia telah membuka ruang kepada pihak lain yang bersedia menerima perubahan,” katanya.

Kerajaan menerusi MDEC telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memacu ekonomi digital dan mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila ekonomi digital dianggarkan menyumbang lebih daripada 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lepas.

“Petunjuk ini penting bagi membolehkan kita memberi tumpuan terhadap bidang-bidang khusus untuk Malaysia bersaing dengan negara jiran,” kata Rais Hussain.

MDEC kini sedang giat berusaha bagai mencapai Wawasan Malaysia 5.0 yang menetapkan supaya interaksi masyarakat dan teknologi saling melengkapi dan inklusif, kerjasama dengan semua pihak akan menjadi kunci kejayaan wawasan tersebut, katanya.

Beliau berkata tidak ada organisasi yang dapat melakukannya tugas secara bersendirian justeru kerjasa erat dengan masyarakat menjadi faktor kejayaaan wawasan berkenaan.

Menurutnya, pandemik COVID-19 telah telah memberi peluang kepada dunia untuk mengatur semula dan membangunkan semula sistem sedia ada untuk masyarakat dan ekonomi dan menjadikannya lebih lestari dan inklusif.

Krisis ketika ini juga menyaksikan ketidaksamaan dalam sistem ekonomi sedia ada serta memberi petanda bahawa pemulihan yang betul untuk jangka panjang perlu bersifat inklusif, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )