Kerajaan sedia beri sokongan fiskal tambahan

Kerajaan sedia beri sokongan fiskal tambahan

KUALA LUMPUR,. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk memberikan sokongan fiskal tambahan jika terdapat keperluan untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan perniagaan serta mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara, selain mengurangkan kerosakan kepada ekonomi yang lebih luas.

Pada tahun ini sahaja, kerajaan telah mengumumkan empat pakej bantuan dengan suntikan fiskal sebanyak RM26.8 bilion.

Sehubungan itu, katanya defisit dijangka meningkat daripada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), seperti yang disasarkan dalam Belanjawan 2021, kepada sekitar 6.5-7 peratus daripada KDNK, dengan hutang statutori dijangka mencecah paras siling sebanyak 60 peratus pada akhir tahun ini.

Secara keseluruhannya, terdapat lapan pakej rangsangan dan bantuan sejak bermulanya pandemik ini.

“Jika wujud lagi keperluan, kami akan memberikan sokongan fiskal melalui gabungan rasionalisasi kos, dividen tambahan daripada ekosistem kerajaan dan meningkatkan paras siling hutang kepada 65 peratus untuk memudahkan lebih banyak pinjaman,” katanya pada sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa krisis akan reda dalam jangka masa panjang dan kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat, yang bertujuan untuk meningkatkan asas pendapatan negara.

“Ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Ditanya mengenai prinsip pemikiran utama dalam memacu pemulihan ekonomi dan membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap COVID-19, Tengku Zafrul berkata penting untuk mengetahui bahawa perjalanan ke arah pemulihan sering tidak lancar dan terdapat cabarannya.

“Ini berdasarkan kisah ekonomi Malaysia — misalnya, pengalaman pada tahun 90-an sebelum krisis kewangan Asia. Aspek paling penting ialah sentiasa membina daya tahan untuk menangani kejutan, sama ada dalam bentuk institusi, kedaulatan undang-undang, infrastruktur yang kukuh atau rizab.

“Ia ternyata membuahkan hasil. Antara 1991 dan 2020, pendapatan negara kasar per kapita Malaysia naik 5.8 kali kepada RM42,503, walaupun menghadapi empat kelembapan ekonomi dalam tempoh sama,” katanya.

Menurut beliau, perkara yang sama dalam membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap COVID-19.

“Ia tidak lancar, terdapat turun naik. Adalah wajar, terdapat detik-detik kekecewaan dan kekeliruan.

“Bagaimanapun, penting untuk kita terus berusaha membina daya tahan kita untuk menangani tempoh ini,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan sedang mengkaji usaha untuk mengukuhkan daya tahan dan kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan bagi menghadapi pandemik pada masa depan, selain mendepani cabaran jangka panjang penduduk yang semakin berusia dan penyakit tidak berjangkit.

Bagi prospek pertumbuhan untuk 2021 dan 2022, katanya jangkaan pembukaan semula ekonomi akan menyokong pemulihan secara berperingkat pada suku keempat tahun ini, dengan permintaan luaran yang tinggi, peningkatan pengeluaran komoditi dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan sekatan yang telah ditarik balik memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi.

Bulan lepas, Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran KDNK 2021 negara kepada antara tiga dan empat peratus berikutan penguatkuasaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 di seluruh negara bermula Jun 2021.

Tengku Zafrul berkata pemulihan dijangka memacu sehingga 2022.

“Sudah tentu, pemulihan ekonomi kita berkaitan dengan usaha kita dalam menangani pandemik COVID-19. Ia banyak yang bergantung kepada kelancaran program vaksinasi, perkembangan penggunaan ICU (unit rawatan rapi) dan kewujudan varian virus yang baharu. Dalam beberapa aspek ini, kita telah menyaksikan beberapa petunjuk yang menggalakkan,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )