Kerajaan diharap tumpu perhatian kepada penjaja, peniaga kecil pada Belanjawan 2021

Kerajaan diharap tumpu perhatian kepada penjaja, peniaga kecil pada Belanjawan 2021

JOHOR BAHRU,. Kerajaan diharap dapat menumpukan lebih perhatian kepada golongan penjaja dan peniaga kecil yang kini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Setiausaha Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata seruan itu dibuat kerana majoriti penjaja dan peniaga kecil baharu itu adalah mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, perhatian yang boleh diberi bukan sahaja dalam bentuk kewangan malahan mencakupi perihal birokrasi kerajaan dalam memberi lesen perniagaan serta memberi pengurangan kadar bayaran sewa bagi premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kesan daripada COVID-19, ramai rakyat diberhentikan kerja lantas menyebabkan mereka mula melakukan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah bagi menampung kehidupan seharian.

“Kehadiran mereka ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, penumpuan kerajaan terhadap golongan ini amat penting bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Salezan berkata beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini tidak dinafikan dapat membantu sektor ekonomi bertahan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, katanya, masih terdapat juga segelintir penjaja dan peniaga kecil-kecilan tidak menerima bantuan disediakan akibat masalah dokumentasi yang tidak lengkap, karenah birokrasi dan lain-lain.

“Rata-rata ahli kami pernah memohon bantuan yang diumumkan kerajaan namun sebahagian kecil sahaja yang berjaya menerimanya, sedangkan hampir keseluruhan ahli kami terkesan teruk perniagaan akibat COVID-19,” katanya.

Kelompongan ini, tambahnya, memaksa persatuan itu sendiri mengambil langkah sendiri dengan mewujudkan ruang niaga kepada ahli-ahli dan mengenakan kadar sewa minimum selain menyediakan bantuan kewangan kepada ahli yang memerlukan modal perniagaan awalan.

Mohammad Salezan memberitahu setakat ini, terdapat seramai 6,107 penjaja dan peniaga kecil-kecilan berdaftar dengan persatuan itu, melibatkan pelbagai jenis perniagaan khususnya makanan dan minuman.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )