Kempen Visa ‘Where You Shop Matters’ bantu mendigitalkan perniagaan PKS

KUALA LUMPUR,. Peneraju dunia dalam pembayaran digital, Visa telah melancarkan kempen ‘Where You Shop Matters’, satu inisiatif yang menggalakkan pengguna untuk menyokong usahawan tempatan, di samping membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendigitalkan perniagaan mereka susulan pandemik COVID-19.

Visa dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan kempen “Beli Produk Malaysia” yang dilancarkan pada bulan lepas dan kempen Cuti-Cuti Malaysia yang bermatlamat untuk menggalakkan perjalanan domestik.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi perniagaan kecil Visa yang lebih luas serta sesuai dengan komitmen syarikat untuk menyokong 10 juta perniagaan kecil dan mikro di Asia Pasifik.

“Di samping itu, Yayasan Visa telah menyumbangkan sejumlah US$210 juta bagi menyokong perniagaan kecil dan mikro termasuk bantuan kecemasan COVID-19 pada awal tahun ini,” katanya.

Pengurus Negara Malaysia Visa,Ng Kong Boon berkata fokus syarikatnya adalah untuk membantu perniagaan kecil ini memulakan perjalanan pendigitalan termasuk menawarkan peralatan e-dagang kepada PKS beserta tawaran komersil Visa bagi membantu mereka memulakan, mengurus dan mengembangkan stor dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata agensi itu berasa teruja kerana berpeluang mengembangkan hubungan mereka yang cukup lama dengan Visa khususnya ke arah memulihkan dan meningkatkan ekonomi negara melalui pelancongan dan jenama tempatan.

“Sejak sekatan perjalanan antara negeri dilonggarkan, kami telah melihat peningkatan dalam industri pelancongan tempatan. Melalui pelbagai tawaran yang Visa berikan kepada usahawan serta pemegang kadnya, kami percaya patriotisme di kalangan rakyat Malaysia akan terus terbukti melalui pembelian barangan dan perkhidmatan buatan tempatan,” kata beliau.

Berdasarkan kajian Visa yang terkini, hampir separuh rakyat Malaysia berhasrat untuk membeli-belah dalam talian secara lebih kerap. Data menunjukkan 83 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa adalah penting bagi perniagaan kecil membangunkan stor dalam talian.

“Sebagai sebahagian daripada insiatif Where You Shop Matters, Visa telah bekerjasama dengan beberapa pemboleh e-dagang seperti BigCommerce, EasyStore, SiteGiant dan StoreHub untuk menggalakkan dan membantu PKS memulakan perjalanan mereka ke arah stor dalam talian,” kata Visa lagi.

Untuk maklumat lanjut, boleh kunjungi https://www.visa.com.my/run-your-business/small-business-tools/whereyoushopmatters.html.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )