Kempen KPDNHEP bantu usahawan teroka pasaran global

Kempen KPDNHEP bantu usahawan teroka pasaran global

MARANG,. Sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang diterima ternyata memberi peluang kepada pengusaha keropok keping jenama Tok Yam, Hawa Abd Rahman, untuk mengembangkan perniagaan dan meluaskan pasarannya.

Hawa, 60, berkata beliau bertuah kerana berkat sokongan dan bantuan itu, produknya mampu berada di ‘awan biru’ setelah berjaya berada dalam senarai makanan yang dijual syarikat penerbangan antarabangsa selain mampu menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Jepun dan China.

“Antara yang paling banyak membantu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk kami mempromosikan produk di seluruh Malaysia.

“Bermula pada 2018, KPDNHEP membawa usahawan menjelajah ke pusat beli-belah terkenal di seluruh negara seperti The Curve dan Subang Parade di ibu negara, melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Citarasa Malaysia yang menjadi titik tolak untuk produk kami menembusi pasar raya besar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Produk keluaran Hamie Food Industries Sdn Bhd itu yang memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) menerusi Kementerian Kesihatan, dipasarkan di 60 cawangan Lotus’s Stores (sebelum ini Tesco) dan 2,400 outlet kedai serbaneka 7-Eleven di seluruh negara setakat ini.

Hawa berkata program anjuran KPDNHEP selama ini banyak membantu syarikatnya untuk memperkenalkan produk secara terus kepada pembeli dengan memberi usahawan peluang menerangkan keistimewaan produk berkenaan.

“Melalui kempen dan program itu, kita lebih dekat dengan prospek dan boleh menceritakan tentang khasiat keropok ikan sebagai snek yang sihat selain menonjolkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang menjadi prosedur operasi standard (SOP) wajib diamalkan di kilang syarikat.

“Setiap kali mengikuti kempen KPDNHEP ini, kami tidak pulang dengan ‘tangan kosong’, purata jualan ialah antara RM7,000 hingga RM8,000 dan paling mengujakan apabila kami mendapat kepercayaan daripada enam syarikat yang mahu mengeluarkan keropok keping jenama sendiri melalui kilang kami di Bukit Kor, Marang,” katanya.

Ibu kepada empat anak ini berkata beliau sentiasa mendapat bimbingan keusahawanan daripada KPDNHEP terutama dari aspek pembungkusan dan pelabelan kerana mahu ia mampu bersaing di pasaran global setanding produk antarabangsa yang lain.

“Nasihat saya kepada usahawan baharu agar sentiasa berdamping erat dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti KPDNHEP kerana banyak peluang tersedia untuk kita meneroka lebih jauh sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“Siapa sangka keropok keping yang dahulunya makanan tradisi Terengganu kini mampu dinikmati di dalam dan luar negara dengan lebih mudah pada bila-bila masa. Semua ini tidak akan tercapai tanpa sokongan kerajaan seperti KPDNHEP untuk terus membantu usahawan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2014, syarikatnya telah menerima geran serta pinjaman perniagaan lebih RM500,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), pemberian mesin bernilai RM250,000 daripada SME Corp, geran pengiklanan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, pinjaman RM100,000 daripada Tekun Nasional dan mesin pengering RM200,000 daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Beliau juga bertuah kerana sering menerima bimbingan dan bantuan lain daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )